Monday, May 10, 2010

POLIS DIREMAN CUBAAN MEMBUNUH



Padan muka hang konstabel oii.....dah gian sangat nak menembak ke....ah..tang reman tu buek boto-boto jangan namoeh reman tapi boleh balik rumah pulak.....

SEREMBAN 9 Mei - Seorang anggota polis berpangkat konstabel yang terlibat dalam kes tembak seorang remaja di Jalan Seremban-Jelebu dekat sini semalam kini ditahan direman selama seminggu untuk membantu siasatan.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh berkata, anggota polis berusia 20 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu atas kesalahan cubaan membunuh.

"Buat masa ini, kita menyiasat kes berkenaan mengikut cubaan membunuh. Ini kerana anggota polis yang ditahan itu tidak mengikut prosedur bila sepatutnya dia menggunakan senjata api," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambah Osman, pihaknya telah mengambil kenyataan anggota polis terbabit yang bertugas di Balai Polis Rahang dekat sini dan berkhidmat lebih setahun lalu.

Dalam kejadian pukul 3.30 pagi semalam, seorang remaja cedera parah di bahagian perut selepas seorang anggota polis melepaskan satu das tembakan semasa mengejar remaja itu di Jalan Seremban-Jelebu.

Mohd. Azizi Aziz, 17, dikatakan ditembak kerana tidak memberhentikan motosikal yang ditungganginya selepas diarahkan oleh anggota polis kereta peronda.

Tembakan yang dilepaskan itu terkena bahagian perut Mohd. Azizi hingga tembus ke usus menyebabkan dia terpaksa dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tuanku Ja'afar di sini.

Siasatan awal polis mendapati, Mohd. Azizi menunggang motosikal kawannya jenis Honda EX5 dan tidak mempunyai lesen.

Dalam pada itu, Osman berkata, pihaknya memandang serius dakwaan bapa kepada remaja terbabit bahawa anaknya itu telah dipukul sebelum ditembak.

"Kita ambil serius dakwaan itu dan akan menyiasat dakwaannya. Polis akan menunggu mangsa beransur pulih sebelum keterangannya diambil," katanya.

Sementara itu, Aziz ketika dihubungi berkata, keadaannya anaknya masih lemah dan kini dirawat di hospital yang sama.

"Saya gembira melihat anak saya sudah boleh membuka mata. Doktor memberitahu anak saya mendapat kecederaan kecil di bahagian hati, selain kecederaan akibat kesan tembakan itu," ujarnya.

Aziz bekerja sebagai tukang masak di sebuah kilang dekat sini manakala isterinya, Juhaida Che Hasan menunggu anaknya di hospital sejak kejadian itu.

Katanya, dia akan meneruskan niatnya untuk mengambil tindakan undang-undang berhubung kejadian itu.

"Walaupun anak saya menunggang motosikal tanpa lesen, anggota polis sepatutnya tidak bertindak menembak anak saya.

"Dia telah menduduki ujian untuk mendapatkan lesen sah sebelum ini tetapi gagal dan bercadang untuk mengambilnya sekali lagi dalam waktu terdekat," katanya.

Kata Aziz, anaknya itu pernah tidak bersekolah selama setahun ketika menduduki tingkatan dua kerana membantu keluarga.

"Saya menjual nasi ayam di pasar malam dan anak saya bersama isteri yang bekerja sebagai operator pengeluar di sebuah kilang akan mengikut sama. Mereka sama-sama membantu saya berniaga untuk menambah pendapatan keluarga," katanya.

Aziz berharap anaknya itu segera sembuh untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia akhir tahun ini.

"Dia adalah anak yang baik dan saya bimbang dengan kejadian ini akan menjejaskan persediaannya menghadapi peperiksaan SPM," katanya.-utusan

No comments:

Post a Comment

POSTING RUJUKAN

SAJAK DR ASRI

BLOG LIST

AlQurannulkarim

Listen to Quran