KUALA LUMPUR: Tanah Kerajaan Persekutuan yang terbiar atau tidak dimanfaatkan akan dibangunkan secara tender terbuka untuk mencetuskan pertumbuhan ekonomi yang berkembang maju dan berdaya saing, kata Datuk Seri Najib Razak.
Perdana Menteri berkata, kerajaan kini mahu membuka kunci nilai strategik aset Persekutuan itu untuk mendorong kesan pengganda yang tinggi dengan melepaskan potensi ekonomi aset berkenaan sepenuhnya.
“Ketika ini tiada tender terbuka, kerana ia membabitkan pemindahan tanah kerajaan.
“Bagaimanapun, saya berhasrat untuk mengadakan tender terbuka bagi tanah kerajaan untuk tujuan pembangunan. Adalah satu kesilapan untuk menganggap bahawa semua tanah kerajaan akan dimonopoli hanya satu institusi,” kata beliau dalam laman blognya semalam.
Sebagai contoh, katanya pembangunan tanah usaha sama di Sungai Buloh membabitkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan ditender.
Najib berkata, rancangan pembangunan mega itu bukan saja meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara, bahkan pembangunannya dijangka memberikan faedah kepada 10 juta pencarum KWSP.
Katanya, 1Malaysia Development Bhd (1MDB), sebagai syarikat pembangunan strategik milik kerajaan berada dalam keadaan kukuh untuk memastikan semua rakan kongsinya kekal berpegang kepada objektif utamanya.
“Tanah yang akan dimajukan di Sungai Besi dikaitkan dengan memorandum persefahaman yang ditandatangani baru-baru ini dengan Lembaga Pelaburan Qatar yang begitu berminat membuat pelaburan bernilai AS$5 bilion.
“Ia akan menjadi satu pembangunan komprehensif, yang akan membabitkan pemain asing dan tempatan seperti Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT). Sebagai agensi utama, 1MDB akan menggunakan rangkaian globalnya untuk membuat pemilihan pemain tempatan dan antarabangsa yang menjadi perancang dan pemaju bertaraf dunia.
“Tujuannya adalah memanfaatkan kepelbagaian pengalaman antarabangsa dan tempatan untuk mendapatkan hasil terbaik. Ini adalah urus janji sangat luar biasa kepada negara dan saya berharap akan ada lebih banyak perkongsian bertahap tinggi yang akan menggalakkan penyerapan bakat global dan tempatan seperti ini,” katanya.
Perdana Menteri berkata, Malaysia sedang menarik modal jangka panjang daripada pelabur asing yang mempunyai pengaruh kewangan dan perkongsian global kerana mereka mempunyai pelaburan dalam pelbagai sektor menguntungkan negara, sekali gus membawa kesan pengganda kepada pelaburan dan hubungan ekonomi.
Beliau berkata, langkah inovatif pertama ini akan bertindak sebagai pemangkin kepada jenama Malaysia sebagai satu destinasi pelaburan dunia, menyemarakkan keyakinan pelabur dan menyelitkan Malaysia dalam ekonomi dunia.
Katanya, pelabur yang menjadi sasaran negara adalah rakan kongsi terkemuka dalam pasaran global yang memiliki antara jenama terbaik di dunia.
No comments:
Post a Comment