KUALA LUMPUR, 21 Mei — Keluarga pengasas kumpulan Al-Arqam, yang diharamkan 16 tahun lalu, menafikan dakwaan pergerakan tersebut masih aktif di negara ini dan mencabar membuktikan dakwaan itu.
“Bagaimana boleh kata Al-Arqam masih lagi aktif sedangkan ia sudah lama diharamkan?
“Waktu pengharaman pada 1994 semua pemimpin Al-Arqam sudah berpecah dan mustahil ia masih lagi aktif,” kata Mohd Ikramullah, 44, anak keenam Ashaari Mohamad kepada The Malaysian Insider ketika ditemui di Rawang semalam.
Isu ini menjadi perhatian kira-kira seminggu selepas Ashaari meninggal dunia.
Beliau berkata kalau benar pergerakan Al-Arqam masih lagi aktif cuba buktikan.
“Kalau benar Al-Arqam masih wujud cuba buktikan?
“Janganlah bercakap perkara yang sudah lama berlaku, Al-Arqam sudah 16 tahun musnah. Mengapa masih perlu bercakap perkara ini?” katanya.
Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang dihubungi The Malaysian Insider baru-baru ini percaya pergerakan Al-Arqam masih lagi aktif walaupun telah diharamkan pada 1994 selepas didapati menyeleweng daripada ajaran Islam.
Pengarahnya, Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata pergerakan Al-Arqam kini berselindung di sebalik aktiviti perniagaan bagi mengelirukan orang ramai.
“Dulu Al-Arqam gunakan nama Rufaqa, tetapi kini mereka gunakan nama Global Ikhwan Sdn. Bhd. bagi mengelak daripada dihidu oleh pihak berkuasa.
“Kita percaya pengikut-pengikut Al-Arqam bergerak di bawah perniagaan,” kata beliau.
Pergerakan Al-Arqam diasaskan Ashaari atau lebih mesra dikenali sebagai Abuya pada 1968 telah diharamkan oleh kerajaan pada 1994 atas alasan ajarannya didapati menyeleweng.
Al-Arqam juga dikenali sebagai Jamaah Aurad Muhammadiah telah mengembangkan pengaruhnya di setiap lapisan masyarakat Islam di seluruh Malaysia.
Ashaari telah meninggal dunia di di Pusat Rawatan Pakar Ipoh kerana jangkitan paru-paru pada 13 Mei lalu.
Kumpulan ini pernah dilapor menyebarkan kegiatan dakwah Islam melalui bidang pendidikan, penerangan, penerbitan, perusahaan, perniagaan, perubatan dan juga pertanian.
Mohd Ikramullah berkata adalah lebih baik jika perkara tersebut tidak diungkitkan lagi bagi mengelakkan sebarang salah faham.
“Kalau masih ada pihak yang mahu bercakap perkara ini biarkan sahaja, kami tidak kisah,” katanya.- tmi
No comments:
Post a Comment