Iskandar Malaysia Yang Lesu
sept 28 09
Iskandar Malaysia: ‘Rumah siap pahat berbunyi’
Menjadi perkara biasa setiap kali sesuatu pembangunan, perumahan mahupun apa jua projek yang dikatakan disiapkan akan timbul masalah seperti tidak puas hati sesetengah pihak.
Seperti kata pepatah, ‘rumah siap pahat masih berbunyi’ masih tidak dapat dinafikan dan ia turut berlaku terhadap projek mega, Iskandar Malaysia yang terletak di Johor.
Ikuti temu bual penulis dengan beberapa penduduk di negeri ini mengenai Iskandar Malaysia dan penjelasan turut diberikan Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Harun Johari, berhubung perkara ini.
Iskandar Malaysia adalah sebuah zon ekonomi unggul, terletak di Johor yang merangkumi segi tiga logistik bermula dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (kawasan utara) hingga ke Pelabuhan Tanjung Pelepas (kawasan barat daya) dan Pelabuhan Johor, Pasir Gudang (kawasan Tenggara).
Meliputi kawasan seluas 2.217 kilometer persegi, projek ini dijangka siap sepenuhnya pada 2025 dan dijangka menjadi sebuah metropolis yang kukuh, mapan dan bertaraf antarabangsa.
Dikenali sebagai Wilayah Ekonomi Johor Selatan (SJER) dan kemudiannya sebagai Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI), kini ia dinamakan Iskandar Malaysia yang Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) menjadi badan berkanun Persekutuan yang diberi kuasa untuk merancang, mempromosi, memproses, merangsang dan menjalankan usaha-usaha pembangunan Iskandar Malaysia.
Menjadi pusat penumpuan kepada pembangunan berterusan, pemeliharaan alam sekitar dan pengagihan keuntungan yang saksama kepada masyarakat setempat, ia juga telah dikenal pasti sebagai pusat pembangunan negara di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).
Namun, dalam mengendalikan pelan pembangunan strategik dan jangka panjang untuk pembangunan berstruktur hartanah terbesar dalam negara ini, masih terdengar suara-suara sumbang yang tidak bersetuju dengan pelaksanaannya dan masing-masing memberikan pendapat yang berbeza.
Setelah tiga tahun dilancarkan secara rasmi bermula akhir 2006, tidak kurang juga ada yang mengatakan keseluruhan proses ke arah penubuhan Iskandar Malaysia ini dilakukan dalam keadaan tergesa-gesa.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Shahrir Abdul Samad, juga pernah melahirkan rasa terkilannya terhadap projek pembangunan Iskandar Malaysia yang didakwanya masih tidak memberi keutamaan kepada penduduk Bandaraya Johor Bahru.
Beliau juga sebelum ini pernah meluahkan kekecewaannya kerana pembangunan di Iskandar Malaysia dikatakan tidak menampakkan faedah kepada golongan peniaga kecil. Projek mega Iskandar Malaysia ini dikatakan terlalu mengutamakan pelabur asing sehingga mengetepikan usahawan tempatan.
Ada juga yang mengatakan kawasan perumahan yang dibina sekitar Nusajaya itu pula dimiliki ramai rakyat negara luar kerana harganya yang tidak mampu dimiliki rakyat tempatan. Difahamkan ada kawasan perumahan banglo di Nusajaya yang dijual dengan harga sehingga mencecah RM2.8 juta itu, 90 peratus telah dibeli kebanyakan warga asing.
Berdasarkan tinjauan, kebanyakan penduduk tempatan Johor sehingga kini ramai yang hanya sekadar maklum bahawa Iskandar Malaysia adalah satu projek yang besar, tetapi masih tertanya-tanya apa yang ada pada projek tersebut.
Kurangnya pendedahan terutama terhadap penduduk bandar raya Johor Bahru sendiri dipersetujui ramai pihak. Malah, ramai juga yang beranggapan Iskandar Malaysia itu hanya terletak di kawasan Nusajaya sahaja, walhal ia meliputi lima zon di Johor termasuk Pusat Bandaraya Johor Bahru, Pelabuhan Pasir Gudang, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai dan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP). Penulis sendiri sebagai rakyat negeri Johor mengakui tidak tahu sepenuhnya projek yang dijalankan di bawah Iskandar Malaysia walaupun sudah tiga tahun dijalankan melainkan hanya selepas melawat salah satu kawasannya di Nusajaya.
Apa yang diharapkan agar segala pandangan dan komen orang ramai diambil kira dalam menyumbang kepada pembangunan yang lebih mapan di Iskandar Malaysia selain menjamin kesejahteraan penduduk negeri Johor khususnya.-sinar
UMNO-Online buat lawak Altantunya... kahkahkah
22 minutes ago
No comments:
Post a Comment