ogos 31 09
Persoalan kuil Seksyen 19 dan tindakan Pewaris
OGOS 30 — (Artikel ini diterbitkan pertama kali pada Jan 10, 2009)
Kerajaan Barisan Nasional (BN) telah meninggalkan banyak perkara yang perlu diperbetulkan oleh kerajaan Pakatan Rakyat (PR) selepas kami mengambil alih. Selain dari penyelewengan dan salah guna kuasa yang menjadi bagaikan “signature” BN, terdapat juga persoalan projek-projek terbengkalai, projek-projek di lereng bukit yang tidak patut diluluskan tetapi diluluskan, penduduk rumah setinggan, kemiskinan bandar dan “lain-lain”. Di antara yang “lain-lain” itu adalah persoalan kuil-kuil yang bertaburan yang telah tidak diurus dengan baik apatah lagi bertanggung jawab oleh BN.
Kebanyakan dari kuil-kuil ini merupakan kuil yang telah dibina semasa tempat berkenaan merupakan estet getah pada tahun-tahun sebelum Malaya merdeka. Apabila estet itu diambil-alih untuk dijadikan kawasan perumahan, pada tahun-tahun selepas merdeka, pekerja-pekerja ladang dipindahkan tetapi kuil mereka dibiarkan di tempat asal. Ianya tidak dipindahkan bersama penduduknya. Akhirnya penduduk asal terus mengunjungi kuil tersebut sambil kawasan persekitaran dibangunkan. Kuil mereka juga terus dibangunkan mereka.
Kesudahannya adalah seperti apa yang terdapat di Seksyen 19, Shah Alam! Rumah-rumah yang didiami orang Melayu berhampiran dan berhadapan kuil. Keadaan ini lebih merumitkan apabila penduduk memberitahu bahawa semasa membeli rumah-rumah mereka, PKNS telah menjamin bahawa kuil berkenaan tidak akan lagi berada disitu apabila rumah mereka siap. Namun, di bawah BN, janji seperti biasa tinggal sebagai janji. Masalah ini telah wujud selama 20 tahun lebih dan apabila PR mengambil alih, kami terpaksa menyelesaikan masalah yang diwujudkan BN ini. BN hanya pandai menimbulkan masalah tetapi buntu untuk mencari penyelesaian.
Dasar kerajaan PR adalah mudah. Pertama, kuil-kuil yang lama ini perlu dipindahkan ke satu tempat yang lebih sesuai. Tempat perlu dikenal pasti oleh PBT dan semestinya dipersetujui oleh pengguna kuil berkenaan. PBT perlu mengambil kira segala permasalahan yang akan dihadapi oleh pengguna kuil hasil dari pemindahan tersebut. Sambil itu, pembinaan kuil baru, selain dari hasil perpindahan, juga dihentikan.
Pada Khamis 8hb Januari, sambil saya menghadiri mesyuarat berhubung penduduk Rimba Jaya yang telah dirobohkan rumah-rumah mereka oleh kerajaan BN (masalah yang diwarisi lagi!), saya mendapat maklumat dari seorang penduduk Melayu Seksyen 19 bahawa ada sekumpulan Melayu telah datang untuk menimbulkan ketegangan di kuil tersebut.
Selepas mesyuarat berkenaan saya bergegas ke sana dan mendapati sekumpulan orang, kebanyakan mereka orang luar, berkumpul berhampiran kuil tersebut. Mereka ingin membina “gelanggang silat” di tepi kuil dan akan mengadakan kenduri untuk merasmikan pembukaan gelanggang tersebut pada hari Sabtu 10hb ini. Untuk kenduri itu mereka akan tumbangkan 2 ekor lembu! Seterusnya mereka akan menjamu penduduk dan orang ramai di depan kuil berkenaan. Gelanggang mereka akan dibina tanpa membuat apa-apa permohonan kepada phak berkuasa kerana kata mereka, kuil tersebut juga tidak mendapat kebenaran!
Orang yang mengetuai kumpulan tersebut datangnya dari Melaka! Dia menyatakan dia “mewakili rakyat” dan tindakan ini terpaksa mereka ambil melalui persatuan NGO mereka yang bernama “Pewaris” kerana kerajaan PR masih berhoneymoon. Dia berkata penduduk sudah hilang kepercayaan kepada kerajaan dan oleh itu penduduk memanggil mereka turun. Amat jelas, soal gelanggang silat dan sebagainya hanya satu helah. Sebenarnya mereka mahu provoke pihak kuil berkenaan.
Saya menyatakan “wakil rakyat” di sini adalah saya, bukan dia (mungkin dia ingat dia masih di Melaka). Sekiranya dia ingin mewakili rakyat, dia patut turun bertanding dalam PRU yang akan datang. Saya juga memberitahunya bahawa yang “berhoneymoon” selama 50 tahun adalah BN!
Saya menjelaskan bahawa pihak kerajaan sedang menguruskan perkara ini dan kita harus diberi masa. Kalau BN tak dapat buat apa-apa dalam tempoh 20 tahun lebih, semenjak rumah-rumah mula didiami, takkanlah saya tidak boleh diberi tempoh setahun, kata saya lagi. Malahan, tambah saya, pada bulan 5 atau 6 tahun lepas, saya telah bertemu dengan penduduk di dewan Masjid Sek. 19 dan berbincang dengan mereka dan memohon tempoh setahun. Mereka telah bersetuju.
Orang Melaka ini terus menuduh bahawa PR mendiamkan diri bila orang India membina kuil-kuil baru di merata Shah Alam. Saya nyatakan tiada kuil baru dibina dan dia gelakkan saya. Saya beritahu dia, “tunjuk saya di mana kalau kamu bercakap benar!” Dia pun terus ke keretanya, minta saya ikut di belakang sambil dengan penuh keyakinan mengatakan, “mari, saya tunjuk awak”!
Maka saya mengekorinya; hai orang Melaka ini yang menganggap dirinya lebih tahu Shah Alam dari orang Shah Alam. Akhirnya dia bawa saya ke sebuah kuil di tepi landasan keretapi di Seksyen 15. Saya beritahu dia kuil itu telah ada di situ “sebelum kamu dilahirkan ke dunia ini”. Dia diam dan terus kembali ke kuil Seksyen 19.
Tidak puas hati lagi dia mencabar saya sebaik sahaja kita sampai di Seksyen 19, “awak orang Melayu, orang Islam, kenapa awak sibuk sangat nak membela kuil ini”? Saya jawab, “kerana Islam mengajar saya supaya bertindak adil terhadap semua manusia. Mereka, walaupun bukan Islam, ada hak dan Islam menuntut kita menghormati hak mereka”. Dia diam. Seterusnya dia berkata dia tak tahu sangat soal agama ini.Saya menambah lagi, “kita marah bila Israel mengasari ummat Islam di Gaza, jangan kita pula mengikut perangai Israel”.
Melihat dia mula teragak-agak saya pun menyatakan bahawa saya tahu Pewaris dan Pekida adalah NGO yang adik beradik. Penaung Pekida adalah PM maka semestinya begitu juga Pewaris. Kedua-dua NGO ini dikuasai oleh ahli UMNO. Saya tahu juga bahawa tindakan mereka ini, pada masa ini, ada hubung kait dengan PR kecil KT.
Mereka ingin menimbulkan ketegangan dan masalah kaum supaya dengan itu mereka boleh menjaja keseluruh negara bahawa PR telah gagal menyelesaikan masalah ini di Selangor; dan Selangor sekarang ada masalah perkauman. Dia diam dan selepas itu dia menegur saya kerana buruk sangka, tetapi dia tidak menafikannya.
Dengan itu saya berundur. Saya memberitahu pegawai Polis dan juga pihak penguatkuasa MBSA yang berada di sana bahawa ini tugas mereka. Mereka kena menjaga keselamatan dan keamanan. Saya difahamkan walaupun gelanggang tidak dibina, namun mereka ingin teruskan kenduri mereka. Mereka kata mereka akan menjemput saya sekali. Saya menjawab, ikut undang-undang. Kalau pembinaan gelanggang dapat kelulusan MBSA, saya datang.
Kalau tidak, program Aman Palestine di stadium Melawati pada 10hb jam 10 pagi adalah tempat yang lebih afdal bagi saya untuk hadir, begitu juga dia!
WalLahu ‘Alam. — khalidsamad.com
Peta Lokasi Berhubung Kuil Seksyen 19
Memandangkan persoalan kuil Seksyen 19 yang ingin dipindahkan telah menjadi isu Nasional, saya sertakan di sini peta-peta yang menunjukkan kedudukan lokasi-lokasi yang relevan berhubung persoalan ini. Oleh yang demikian, tuan-tuan boleh menilai sendiri samada tapak cadangan di Seksyen 23 adalah wajar atau sebaliknya.
[PETA 1 - Seksyen 19,20,22 dan 23]
Peta pertama menunjukkan kedudukan Seksyen 19, 20, 22 dan 23 serta kedudukan kuil di Seksyen 19, tapak cadangankan asal oleh BN di Seksyen 22 dan tapak yang dicadangkan di Seksyen 23. Harap diberi perhatian bahawa Seksyen 22 merupakan kawasan Industri berat (berwarna gelap) tanpa adanya rumah berhampiran sepertimana peta yang kedua. Dakwaan Seksyen 22 adalah kawasan majoriti masyarakat India adalah dakwaan palsu.
[PETA 2 - Seksyen 22]
Peta ketiga menunjukkan ‘close-up’ Seksyen 19 dan bagaimana Kuil berkenaan dikelilingi rumah. Jarak di antara rumah terdekat dan Kuil adalah lebih kurang 20 kaki iaitu selebar jalan.
[PETA 3 - Seksyen 19]
View Larger Map
Peta keempat adalah ‘close-up’ lokasi di Seksyen 23. Harap diberi perhatian bahawa kedudukan yang dicadangkan adalah dipinggir kawasan Industri Seksyen 23. Jarak rumah terdekat ke Kuil adalah 200 meter atau 600 kaki iaitu 30 kali lebih jauh dari di Seksyen 19. Begitu juga dengan jarak dari tapak cadangan kuil ke surau. Di antara rumah dan kuil terdapat dewan orang ramai dan taman permainan kanak-kanak. Di antara Surau dan kuil adalah rumah pencawang TNB dan taman permainan kanak-kanak yang sama.
[PETA 4 - Seksyen 23]
View Larger Map
Mungkin bagi orang-orang tertentu tiada bezanya di antara Seksyen 19 dan 23. Kedua-duanya kawasan majoriti ummat Islam. Namun harap maklum, Kuil Seksyen 19 dipindahkan BUKAN kerana Seksyen 19 merupakan kawasan majoriti ummat Islam. Ia dipindahkan kerana Kuil tersebut berada di depan rumah orang (20 kaki). Kawasan itu juga tidak mempunyai tempat parkir kereta dan ini menyebabkan kesesakan berlaku apabila pihak Kuil mengadakan upacara mereka.
Terdapat juga segelintir golongan yang bagaikan tidak sanggup ‘melihat’ kuil dan tok kong. Walau jauh macam mana sekalipun, sekiranya mereka buka jendela rumah dan dapat melihat ‘bumbung kuil atau tok kong’, mereka menjadi bagaikan dirasuk. Adakah wajar sikap ‘ekstrimis’ yang seperti ini disebuah negara yang diwarnai dengan kepelbagaian kaum dan agama?
WaLlahu ‘Alam
KHALID SAMAD
No comments:
Post a Comment