Sebelum ini, Presiden MCA, Ong Tee Keat yang mendakwa dirinya menghadapi "serangan hendap dari 10 arah", telah meramalkan dirinya bakal digulingkan pada September tahun ini. Belumpun ramalan tersebut menjadi kenyataan, timbalannya telah ditolak ke dalam kubur politik.
Sebenarnya, tindakan drastik Ong semalam harus dibaca sebagai strateginya untuk memerangi musuh politiknya. Ong yang diasak bertubi-tubi oleh Ketua Eksekutif Kuala Dimensi Sdn Bhd, Tiong King Sing sejak kebelakangan ini, mengambil keputusan untuk membuat laporan terhadap Tiong di Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) semalam, melalui Pengerusi Pelabuhan Klang, Lee Hwa Beng.
Kemudian, Majlis Presiden yang dipengerusikan Ong Tee Keat, membuat keputusan yang dilihat sebagai "provokasi" pada sebelah malam, iaitu memecat Timbalan Presiden yang telah dilantik oleh Pengerusi Barisan Nasional, Najib Abdul Razak sebagai Ketua Penyelaras BN.
Jelas, gerak-geri yang tidak mendapat restu secara terbuka dari UMNO ini, selaras dengan apa yang dikatakan Presiden MCA itu sendiri, "All out (perang habis-habisan)!"
Pencaturan Ong
Mustahil seandainya dikatakan bahawa Ong tidak menyedari kesan yang bakal diundang setelah memecat Chua. Namun, Ong mungkin merasakan dirinya terpaksa berbuat demikian, kerana sekiranya beliau kekal dengan kedudukannya yang pasif, maka beliau tetap akan digulingkan.
Dalam perhitungan Ong (gambar kanan, tengah), kemungkinan dirinya dilucutkan jawatan Menteri adalah lebih rendah, berbanding dengan "digulingkan" melalui saluran parti. Ong yang mengambil alih jawatan Menteri Pengangkutan sejak Mac 2008, dipercayai tidak terlibat dalam skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ). Lebih-lebih lagi, seandainya beliau dirombak jawatannya, maka akan dilihat sebagai "balasan" kepada sebarang usaha untuk mendedahkan skandal dan membanteras rasuah dalam BN.
Oleh itu, kemungkinan untuk menggulingkan Ong melalui Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) adalah lebih besar. Untuk menghilangkan kebimbangan ini, jalan paling singkat adalah menghapuskan "musuh dalam selimut" yang berupaya untuk berbuat demikian. Maka, sama ada Tiong mahupun UMNO yang mahukan Ong digulingkan, kehilangan senjata setelah Chua ditendang keluar.
Dalam pertimbangan Ong, yang sentiasa melihat dirinya lebih "suci" dan tinggi nilai moralnya daripada yang lain, tiada sebab untuk perwakilan menyokong Chua Soi Lek yang tercalar imej moralnya.
"Mustahil EGM dipanggil, semata-mata untuk menyokong seorang bintang filem lucah!" Demikianlah sinisnya penyokong Ong terhadap ahli yang bersimpati terhadap Chua. Malah, mungkin Ong juga menjangkakan bahawa UMNO sebagai parti Melayu-Islam, keberatan untuk menunjukkan sokongan secara terbuka kepada Chua yang melakukan seks oral, "perilaku seks yang melanggar alam semulajadi", kononnya.-merdekareview
No comments:
Post a Comment