Tuesday, July 14, 2009

KOMEN-KOMEN BLOGGER

Oleh Amizudin Ahmat

Banyak faktor yang mempengaruhi keputusan prk Manek Urai. Kemenangan tipis PAS juga harus dipandang serius. Undi rosak 117 melebihi majoriti 65 juga wajib dipandang serius.

Ada 2 elemen penting yang perlu dihalusi. Unsur luaran dan dalaman PAS merupakan faktor yang penting mempengaruhi pengundi Manek Urai.

Faktor calon juga adalah amat penting mempengaruhi keputusan Manek Urai. Faktor luaran faktor Najib PM baru juga mempengaruhi. 100 hari najib umum 11 hadiah buat rakyat juga mempengaruhi. Jentera UMNO di Manek Urai lebih tersusun berbanding di Bukit Selambau dan Bukit Gantang dan taktik yang mereka gunakan juga berbeza.

Berbagai isu politik yang berlaku dalam Pakatan Rakyat seperti di Kedah, P.Pinang dan Selangor juga mempengaruhi. Di Kedah isu babi hingga DAP keluar Pakatan kemudian masuk balik, di P.Pinang dengan isu Kg Buah Pala, di Selangor dengan isu Menteri Besar dan Azmin Ali. Di Perak 3 Adun PR lompat bebas. Ini semuanya adalah faktor luaran yang sedikit sebanyak mempengaruhi pengundi di Manek Urai.


Faktor dalaman pula adalah isu Kerajaan Perpaduan yang amat serius hingga Tuan Guru Nik Aziz menyuruh Ustaz Nasarudin letak jawatan. Ini perpecahan yang amat serius yang berlaku dalam PAS selepas muktamar. Hingga tidak benarkan Ustaz Nasarudin berkempen di Manek Urai walaupun selepas itu isu ini dianggap selesai tetapi hakikatnya tidak. Jentera PAS paling lemah adalah di Manek Urai. Ini adalah disebabkan perpecahan yang berlaku dalam PAS. Kita boleh nafikan di media tetapi inilah hakikat yang sebenar. Dari segi jentera kita terpaksa akui bahawa jentera UMNO di Manek Urai pada kali ini jauh lebih baik dan tersusun dari jentera PAS. Ingatlah pesan Saidina Ali " Kebatilan yang disusun dengan rapi dan terancang akan dapat mengalahkan kebenaran yang tidak disusun dengan rapi dan teratur.." Kita harus berlapang dada menerima teguran jika kita mahu terus mencapai kemenangan. Kita wajib bermuhasabah.

Manek Urai bukanlah kubu kuat PAS mahupun B-End. Maknanya mahu tidak mahu mulai hari ini kita tidak boleh langsung abaikan rakyat. Rakyat semakin cerdik untuk menilai. Jangan ada lagi sikap pembangkang dalam Pakatan Rakyat setelah membentuk kerajaan. Jangan lagi bila sudah memerintah asyik mahu salahkan kerajaan B-End. Kita wajib tangani dan selesaikan semua masalah yang ada. Barulah rakyat akan melihat Pakatan Rakyat sebuah kerajaan yang cukup berwibawa.

Akhir sekali saya amat berharap, kepada pimpinan Pakatan Rakyat , kukuhkan perpaduan dalam Pakatan Rakyat. Semua pihak harus bermuhasabah dan berlapang dada menerima teguran. Kalau pemimpin sudah tidak boleh lagi ditegur, ingatlah KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT.


Kalau Takut Dipukul Badai...
Usah Berumah Di Tepi Pantai...


Kemenangan tipis satu peringatan untuk Pakatan

MANEK URAI, 14 Julai: Kemenangan tipis PAS kali ini dilihat sebagai satu peringatan kepada Pakatan Rakyat dan PAS agar sedar segera.

"Kami mahu pemimpin Pakatan sedar, kami orang bawah ini tidak mahu melihat pemimpin bergaduh dalam media dan memberikan persepsi negatif kepada umum," kata seorang ahli PAS dari Kemaman.

Sejak kebelakangan ini, tanpa mengambil kira parti mereka sedang bertanding dalam pilihan raya kecil Manek Urai, para pemimpin Pakatan saling serang menyerang antara mereka di depan umum.

DAP Kedah membuat kenyataan menarik diri dari kerajaan Pakatan di negeri itu manakala di Selangor Pemimpin PKR, Azmin Ali mempertikaikan Exco kerajaan negeri Selangor.

Anggota Parlimen PKR Wangsa Maju, Wee Choo Keong pula mendakwa seorang Exco Selangor berurusan dengan kumpulan kongsi gelap di pejabatnya.

Ekoran itu, cabar mencabar dan ugut mengugut berlaku.

Bagi menanganinya, Penasihat DAP, Lim Kit Siang mencadangkan agar Pakatan Rakyat menubuhkan Jawatankuasa Disiplin untuk menjaga tatatertib pemimpin mereka.

Retreat pimpinan PAS Sabtu dan Ahad ini di Alor Setar dijangka akan menjadi perbincangan panas dengan apa yang berlaku ini sebelum kata sepakat tercapai di kalangan mereka.


Satu kejayaan terbesar BN-mkini


analisis Mahu tidak mahu, kemenangan PAS mempertahankan kerusi DUN Manek Urai dengan majoriti tipis 65 undi pasti menimbulkan pelbagai persoalan.

Dalam pilihanraya umum tahun lalu, calon PAS Ismail Yaakob mendapat 5,746 undi dan calon BN, Zulkepli Omar mendapat 4,394. Ismail menang dengan majoriti 1,352 undi.

Malah, pada jam 3.40 petang tadi, pengarah pilihanraya PAS Kelantan, Fatah Harun dengan yakin menyatakan bancian awal jentera pilihanraya kecil tersebut menunjukkan calon PAS, Mohd Fauzi Abdullah "menang dengan majoriti hampir 2,000 undi".

Para penyokong PAS pula sudah merayakan kejayaan tersebut, serta mengucap tahniah kepada Fauzi ketika beliau tiba di markas utama PAS Manek Urai pada jam 4.40 petang tadi.

Bagaimanapun, keadaan itu berubah pada kira-kira jam 7 petang apabila para penyokong BN pula dilihat begitu gembira apabila mendapat tahu calon BN Tuan Aziz Tuan Mat mendahului dengan 30 undi.

Manakala Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin pula, melalui twitter, melaporkan detik-detik cemas dan mendebarkan keputusan pengiraan undi yang begitu rapat antara PAS dan Umno yang saling dahulu-mendahului.

Akhirnya, PAS menang dengan 65 undi. Apa yang tidak kena dalam pilihanraya kecil DUN Manek Urai?

Pengaruh BN makin pulih

Walaupun tewas, Umno sudah pastinya akan melaungkan bahawa pengaruh parti itu sudah semakin pulih sejak krisis kepemimpinannya dan prestasi buruk pilihanraya umum 2008.

Manakala pengaruh PAS khususnya, dan Pakatan Rakyat amnya, semakin terhakis.

Apatah lagi dengan kehadiran tokoh-tokoh besar Pakatan - Datuk Seri Anwar Ibrahim dari PKR dan Lim Kit Siang dari DAP. Manakala Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat pula mengetuai jentera pilihanraya PAS di Manek Urai.

Manakala jentera pilihanraya BN, khususnya Umno, diketuai oleh Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama dengan Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed.

Nampaknya, harapan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak untuk menjadikan pilihanraya kecil DUN Manek Urai sebagai petanda berakhirnya kekalahan BN dalam siri pilihanraya kecil selepas pilihanraya umum 2008, begitu hampir menjadi kenyataan.

Namun, kemampuan BN menghakis majoriti PAS - daripada 1,352 undi kepada hanya 65 undi - boleh dianggap satu kejayaan terbesar kepada BN di Semenanjung dalam enam pilihanraya kecil.

Apatah lagi, DUN Manek Urai merupakan kubu kuat PAS selama ini. BN hanya berjaya merampas DUN tersebut pada pilihanraya umum 2004 dengan majoriti tipis 53 undi.

Punca kegagalan PAS

Bagaimanapun, dalam pilihanraya umum lalu, calon lama PAS berjaya merampasnya semula dengan menewaskan Zulkepli.

Tentunya apa yang bermain di fikiran ramai orang ialah punca kegagalan PAS untuk mengekal majoriti yang dimenanginya pada 2008.

Adakah ia ada kaitan dengan 'ketegangan' dalam kepimpinan PAS berhubung isu cadangan kerajaan perpaduan dengan Umno? Atau pengaruh Nik Aziz, yang begitu lama memimpin PAS, kini kian merosot?

Apakah kepimpinan PAS sudah dapat menghidu masalah tersebut dan bersungguh-sungguh berusaha untuk memastikan seramai mungkin pengundi Manek Urai yang tinggal di luar Kelantan - termasuk 867 orang di Selangor dan Wilayah Persekutuan - balik mengundi?

Malah, satu majlis mengenainya telah diadakan di sebuah hotel di ibu negara yang dihadiri sendiri oleh Nik Aziz dan juga exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa.

Malah, pagi tadi, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar turut mengakui bahawa PAS mampu mengekalkan kerusi DUN Manek Urai tetapi “dengan majoriti yang berkurangan”.

Maka timbul persoalan sama ada kemenangan Pakatan Rakyat dalam siri pilihanraya kecil sebelum ini, sebenarnya atas kekuatannya sebagai sebuah gabungan parti pembangkang, atau atas isu-isu yang tercetus ketika ia berlangsung?

Tugas berat menanti PAS

Mungkin ada kebenarannya dalam pilihanraya kecil parlimen Bukit Gantang pada April lalu di mana Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin mendapat undi simpati susulan disingkirkan oleh BN daripada jawatan menteri besar.

Dan dalam kes pilihanraya kecil Kuala Terengganu, kejayaan calon PAS, Abdul Wahid Endut merampas kerusi dari BN dilihat akibat kelemahan peribadi serta sabotaj ahli Umno sendiri terhadap calonnya Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Dengan keputusan mengejutkan di Manek Urai, tugas berat menanti PAS Kelantan khususnya dan Pakatan Rakyat amnya untuk duduk semeja bagi merenung semula insiden-insiden yang mendorong keputusan nyawa-nyawa ikan kepada seorang pemborong ikan di kerusi DUN tersebut.

Malah, kehadiran Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa - yang sebelum ini amat dimarahi Nik Aziz kerana menyokong idea kerajaan perpaduan dengan Umno - juga tidak membantu.

Kalau di Kelantan sendiri, yang sudah 19 tahun ditadbir oleh PAS, ia menang tipis di Manek Urai, bagaimana pula dengan nasib kerajaan Pakatan di Kedah, Pulau Pinang dan Selangor yang masih setahun jagung?

Mungkin juga para pengundi DUN itu termakan umpan BN mengenai latar belakang pendidikan dan kerjaya calon yang sepatutnya mewakili mereka - Tuan Aziz seorang lulusan universiti, manakala Mohd Fauzi seorang pemborong ikan.

Persoalan demi persoalan terus bermain di fikiran PAS, para penyokong Pakatan dan semua pengamat politik. Semuanya menghentak keasyikan tempoh bulan madu pembangkang sejak 8 Mac tahun lalu sewaktu gerhana singgah di Manek Urai.-Mkini


Tokeyai

Pada tokeyai satu sahaja semua ahli dalam pakatan perlu menghormati ketua masing-masing mesti ada sense of restpectful kepada ketua jangan terlampau nak menunjuk keegoan dan ketaksuban pada kekuatan diri dan parti sehingga mengenepikan peranan ketua, gaya bersahaja sewaktu bertemu dengan pemimpin dalam parti dan kerajaan perlu dielakkan sikap yang terlampau terbuka ini akan memberi persepsi yang tidak baik dimata rakyat seolah-olah pemimpin dalam parti dan kerajaan itu senang diperlekehkan,kenyataan-kenyataan yang bersifat menggugat perpaduan didalam pakatan atas dasar tranperansi atau nak menonjolkan diri perlu dilakukan dengan sebijak yang mungkin dimeja perundingan bukan diakhbar....dengan perkembangan sekarang pakatan rakyat perlu didaftarkan segera untuk menjadi pertubuhan halal dan perlu direformasi semula bagi mengembalikan keyakinan rakyat

No comments:

Post a Comment

POSTING RUJUKAN

SAJAK DR ASRI

BLOG LIST

AlQurannulkarim

Listen to Quran