Friday, July 30, 2010

KICKDEFELLA CDNG NGO HANTAR 50 BAS JUMPA TGNA

Kasi kick ini kickdefella....dulu dia jugak yang buat taik dengan TGNA....sekarang perasan berani nak hantar 50 bas merayu agar TGNA terima umno....this fella ahh...must be kick.....ohhh....wayang lebih.....


Penyatuan Melayu: NGO digesa hantar 50 bas rayu Nik Aziz

Zaini Hassan, Cuit (Utusan Malaysia) dan Syed Azidi, Kickdefella


KUALA LUMPUR, 30 Julai — Sebuah pertubuhan bukan kerajan (NGO) mengadakan forum penyatuan Melayu malam tadi dengan salah seorang panel penceramah meminta agar rombongan rakyat biasa dihantar merayu Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menerima idea kerjasama perpaduan orang Melayu Islam.
“Saya mencadangkan pelan tindakan rakyat, usaha membabitkan rakyat jelata dengan menghantar 50 buah bas ke Pulau Melaka, bertemu dengan Datuk Nik Aziz, bertemu dengan beliau di masjid, merayu kepada beliau supaya terima idea kerjasama penyatuan orang Melayu,” kata blogger Kickdefella atau nama sebenarnya Syed Azidi Syed Abdul Aziz kepada The Malaysian Insider.
Kediaman bukan rasmi Nik Aziz, yang juga Menteri Besar Kelantan terletak di Pulau Melaka, kira-kira 10 minit perjalanan dari Kota Baru.
Menurut Syed Azidi, pelan tindakan itu hanya melibatkan pembabitan rakyat biasa atas alasan rakyat jelata sahaja yang boleh menggerakkan usaha sedemikan.
“Rakyat tidak boleh lagi mengharapkan ahli-ahli politik akan membawa perubahan dalam soal ini, sebaliknya rakyat perlu membawa perubahan dengan menentukan masa depan mereka (ahli-ahli politik),” katanya.
Bagaimanapun beliau tidak dapat menyatakan dengan tepat bila rombongan itu, dijangka membabitkan kira-kira 2,000 orang, akan dihantar ke Kelantan.
Kira-kira 100 orang menghadiri sesi bicara “Melayu Berpecah: Apa Tindakan Kita?” yang diadakan secara tertutup di Ampang dengan 10 orang berucap.
Pihak penganjur tidak membenarkan nama NGO menjadi nadi kepada usaha mereka itu didedahkan. Antara yang hadir ialah budayawan, ahli-ahli akademik dan pengamal media.
Syed Azidi berkata, beliau juga ada mencadangkan agar setiap orang yang menghadiri sesi malam tadi mengadakan pertemuan dengan rangkaian 10 orang mulai hari ini bagi menyebarkan idea dan matlamat yang dibincangkan.
“Jika 100 orang yang hadir malam tadi menyebarkan idea ini kepada 10 orang bermakna kita sudah ada 1,000 orang dan kemudian 10,000 sehingga kita mencapai sasaran akhir.
“Kami mahu pendekatan ini digunakan selepas mendapati tidak lagi boleh meletakkan harapan pada ahli-ahli politik dalam usaha menyatukan orang Melayu,” kata beliau dipercayai merujuk kepada idea ini yang berulang kali dibangkitkan selepas prestasi pilihan raya umum ke-12 dua tahun lalu.
Setakat ini Umno berulang kali membangkitkan idea kerjasama perpaduan dan kerjasama politik dengan PAS tetapi PAS bertegas akan kekal bersama Pakatan Rakyat.
Dua tindakan lain disyorkan Syed Azidi, yang sehingga akhir tahun lalu berkhidmat dengan agensi kerajaan negeri Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), ialah menghantar memorandum minta campur tangan raja-raja Melayu dan kemuncaknya kepada Yang di-Pertuan Agong kelak.
“Kita hendak dan perlu bergerak dengan rakyat, mengadakan pertemuan-pertemuan kecil mulai sekarang... Umno dan PAS tidak terlibat dalam usaha kami ini,” kata beliau ketika ditanya mengenai pembabitan parti-parti politik.
Ketika ditemui malam tadi, Syed Azidi berkata kegagalan kerjasama Umno-PAS berpunca daripada sikap Nik Aziz yang tidak mahukan perpaduan Melayu tercapai.

Syed Azidi berkata, kegagalan dalam mencapai kerjasama dua parti Melayu itu bukan berpunca daripada Umno tetapi PAS.
“Saya tidak lihat ia berpunca daripada Umno kerana parti itu bersedia untuk bekerjasama dengan PAS,” katanya.
“Punca utama adalah kerana halangan daripada Nik Aziz, padahal beliau sebenarnya tidak ada kuasa eksekutif untuk membuat keputusan,” katanya.
Syed Azidi mendakwa apabila Nik Aziz bersuara tiada pemimpin lain yang berani membantah keputusan itu.
“Sebenarnya dalam PAS majoriti pemimpinnya mahukan kerjasama dengan Umno tetapi dihalang oleh kumpulan menentang cadangan  itu.
“Malah saya percaya kumpulan ini yang menekan Nik Aziz supaya menolak cadangan kerjasama itu kerana beliau mempunyai pengaruh besar dalam PAS,” kata beliau yang dipecat sebagai pegawai perhubungan awam PMBK tahun lalu.
Agensi itu diketuai oleh menantu Nik Aziz.
Sebelum ini Nik Aziz tetap dengan pendiriannya menolak sebarang perbincangan atau kerjasama dengan Umno kerana menganggap parti itu telah menyimpang daripada perjuangan Islam.
Malah Nik Aziz mengulangi bahawa Umno terus menunjukkan minat mahu membincangkan kerjasama dengan PAS selepas menyedari kedudukannya menjadi lemah pada pilihan raya umum ke-12 dua tahun lalu.
“Bila dah kalah baru cari kawan... selepas 13 Mei, (Allahyarham) Tun Abdul Razak datang jumpa PAS, kami ingat ikhlas, sebab saya orang yang paling kuat menerima jemputan (daripada Tun Abdul Razak).
“Tetapi bila sudah gemuk (selesa kedudukan), gigit (tangan PAS)... dia orang (akhbar menulis) PAS keluar (BN), tetapi bukan keluar, tetapi ditendang, macam mana punya wartawan tulis macam itu,” katanya di Kuala Terengganu Sabtu lalu.
Selain itu, pemimpin-pemimpin kanan PAS termasuk Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata tidak mahu bercakap mengenai isu berkenaan dengan ada yang menganggap bab perbincangan parti itu dengan Umno “sudah ditutup.”
Syed Azidi yang seringkali menulis isu-isu berkaitan perkembangan politik Kelantan dan penyatuan Melayu menambah, mengikut keadaan politik semasa, sekarang adalah masa terbaik untuk Umno dan PAS bekerjasama demi penyatuan orang Melayu di negara ini.
“Sekarang adalah masa terbaik untuk kedua-dua parti itu bekerjasama demi mempertahankan hak dan perpaduan orang Melayu yang dilihat berpecah.
“Tidak ada perpaduan yang boleh dicapai dengan masing-masing masih memegang kris kerana perpaduan itu boleh berjaya apabila berjabat tangan dan saling menghormati,” katanya.
Oleh itu kata Syed Azidi, Umno dan PAS perlu meletakkan senjata dan bertenang sebelum berunding.
“Ia mungkin boleh berjaya,” katanya.-tmi

No comments:

Post a Comment

POSTING RUJUKAN

SAJAK DR ASRI

BLOG LIST

AlQurannulkarim

Listen to Quran