KUALA LUMPUR: Laporan Ketua Audit Negara 2008 mendapati berlaku penyalahgunaan kenderaan milik kerajaan negeri di tiga negeri iaitu Pahang, Perak dan Pulau Pinang tahun lalu.
Penyelewengan itu membabitkan pelbagai masalah termasuk penggunaan bahan api berlebihan, penyenggaraan kenderaan di bengkel yang tidak dikhususkan dan kekerapan penggantian tayar yang tidak munasabah.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara, terdapat penyelewengan penggunaan bahan api yang berlebihan dalam tempoh masa yang singkat oleh kenderaan kerajaan negeri Pahang.
"Kenderaan yang didapati kerap mengisi bahan api adalah kereta jenis Proton Perdana nombor pendaftaran CBD 88 yang dilakukan sebanyak enam kali dalam tempoh sebulan pada Disember 2008.
"Semakan audit juga mendapati pengisian sebanyak 743.39 liter berjumlah RM1,350 itu dilakukan dalam tempoh yang singkat iaitu antara satu hingga dua minit berbanding dengan kuantiti yang diisi," menurut laporan itu.
Bagaimanapun tiada tindakan diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab dan menyebabkan pejabat setiausaha kerajaan menanggung kos penggunaan bahan api yang tinggi pada bulan itu.
Di Perak pula didapati kos penyenggaraan kenderaan kerajaan negeri adalah tinggi kerana tidak dihantar ke pusat servis yang dikhususkan.
Alasan pejabat SUK mengapa kereta tersebut dihantar ke syarikat itu adalah kerana kenderaan Exco memerlukan penyenggaraan segera sedangkan Syarikat EON Services Sdn Bhd tidak dapat memberikan servis dengan segera.
Masalah kekerapan penggantian tayar dikesan berlaku di Pulau Pinang iaitu pada tiga kenderaan dengan nombor pendaftaran PED 21, PBF 1 dan PAF 1.
Penyiasatan audit itu juga melaporkan semua penggantian tayar adalah disebabkan keadaan bunga tayar yang telah haus atau tayar pecah, tayar haus sebelah, tayar tidak mencengkam dan tayar keras.
Katanya, penggantian tayar yang terlalu kerap bagi tempoh tiga hingga 34 bulan dan penggunaan pada jarak perbatuan antara 1,700 kilometer hingga 21,900 kilometer untuk tiga kenderaan itu juga adalah meragukan.-bernama
No comments:
Post a Comment