KOTA KINABALU: Tiga beradik bawah umur warga Filipina yang terpedaya dengan janji manis sindiket pemerdagangan manusia berjaya diselamatkan daripada terus menjadi hamba kepada ibu dan bapa ayam yang mendalangi aktiviti pelacuran di negeri ini.
Mangsa yang berusia 13, 15 dan 16 tahun diselamatkan hasil beberapa serbuan dilakukan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah ke atas premis pelacuran di Tawau, kelmarin.
Episod malang tiga beradik terbabit bermula apabila kedatangan mereka ke Malaysia untuk mencari rezeki halal tidak kesampaian selepas terjerat dalam perangkap ibu ayam sebelum dipaksa menjadi pelacur sepenuh masa.
Helah ibu ayam yang licik dengan menjadikan rumah kedai untuk menyembunyikan kegiatan pelacuran terbongkar hasil maklumat awam dan intipan dijalankan polis sejak beberapa bulan lalu.
Malah, lebih mengejutkan apabila dalam tiga serbuan itu, polis turut menyelamat 23 lagi gadis warga Filipina yang juga dipercayai menjadi mangsa sindiket penyeludupan dan pemerdagangan manusia.
Serbuan diketuai Pegawai Turus Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) IPK Sabah, Deputi Superintendan Taufik Mydin selepas melakukan beberapa intipan membabitkan tiga lokasi berbeza, dipercayai menjadi markas pusat pelacuran beroperasi.
No comments:
Post a Comment