TANAH KTMB : M'SIA MUNGKIN BERPUTIH MATA LAGI
KUALA LUMPUR, 22 Sept: Tanah stesen kereta api milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Tanjong Pagar yang sepatutnya digunakan sebagai kuasa tawar menawar Malaysia mungkin akan terlepas begitu sahaja, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.
Mengulas persetujuan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong bahawa isu caj pembangunan tiga bidang tanah Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dirujuk ke Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa, beliau berkata, Malaysia tidak kehilangan tanah-tanah KTMB itu walaupun tidak diadakan rundingan mengenai perkara itu sekalipun.
"Perjanjian 1918 menyatakan tempoh pajakan tanah-tanah tersebut kepada KTMB adalah selama 999 tahun walaupun dinyatakan untuk kegunaan perkhidmatan keretapi sahaja.
"Tanah-tanah itu umpama tulang yang terlekat di rengkung para pemimpin Singapura dan Malaysia bukan sahaja tidak perlu tergesa-gesa merundingkan perkara itu malah ia boleh dijadikan kuasa tawar-menawar dalam perundingan dengan Singapura," kata Mahfuz.
Tetapi, kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu lagi, apabila rundingan diadakan dan Najib melakukan tindakan yang amat memeranjatkan dan menerima tawaran pertukaran tanah-tanah itu, ia mungkin hilang begitu sahaja dan Malaysia mungkin akan berputih mata sekali lagi setelah berkali-kali berputih mata dengan Singapura.
"Bila Najib mempersetujui caj pembangunan tanah-tanah tersebut dirujuk ke Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa, dengan pelbagai persediaan yang kita yakin dibuat oleh Singapura seperti yang dilakukannya dalam kes Pulau Batu Putih, bagaimana kalau mahkamah itu mempersetujui caj yang tinggi yang dikehendaki oleh Singapura?
"Ia dengan sendirinya bermakna tanah-tanah itu yang sepatutnya menjadi kuasa tawar-menawar akhirnya akan menyebabkan kerugian yang besar jika caj pembangunan yang tinggi dipersetujui oleh mahkamah tersebut," kata beliau.
Mahfuz juga mempersoalkan mengapa Najib bersetuju bahawa Malaysia tidak akan menerima apa-apa pampasan dan pertukaran tanah jika Malaysia menangguh-nangguhkan tindakan untuk memuktamadkannya.
"Amat malang sekali bagi rakyat negara ini apabila kerajaan pimpinan Najib bersetuju dengan syarat tersebut.
"Ia dengan sendirinya bermakna tanah-tanah tersebut boleh hilang begitu sahaja dari tangan Malaysia jika Singapura berpendapat Malaysia melengah-lengahkan tindakan untuk memuktamadkan persetujuan," katanya.
Mahfuz kesal kerana apa yang sepatutnya menjadi kekuatan Malaysia telah ditukarkan oleh Najib menjadi menjadi senjata makan tuan
"Apa yang sepatutnya menjadi kuasa tawar-menawar negara kita tiba-tiba menjadi kuasa tawar-menawar Singapura apabila syarat tersebut dipersetujui.
"Tidak hairanlah jika Najib terpaksa bersetuju isu caj pembangunan tanah-tanah tersebut dirujuk ke Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa walaupun Malaysia terpaksa berhadapan dengan risiko membayar caj pembangunan yang tinggi," katanya.
Mahfuz juga melihat Malaysia menanggung kerugian dalam semua keadaan.
"Najib menerima ketetapan yang merugikan negara apabila dinyatakan bahawa Malaysia tidak akan menerima apa-apa pampasan dan pertukaran tanah jika Malaysia menangguh-nangguhkan tindakan untuk memuktamadkannya.
"Masalahnya, caj pembangunan yang tinggi juga akan merugikan Malaysia. Rugi dalam semua keadaan," katanya.
Beliau meminta Najib menjelaskan kepada rakyat berapakah caj pembangunan yang dituntut oleh Singapura itu.
"Lebih penting lagi, Najib perlu menyatakan adakah Malaysia sebenarnya telah tertipu? Kalau tak tertipu, mengapa sehingga ke peringkat perlu merujuk Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa?" soal Mahfuz sambil membangkitkan kembali laporan-laporan yang mengaitkan kehilangan Pulau Batu Putih dengan persediaan Malaysia yang amat lemah dalam menghadapi kes itu di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) sebelum ini.-HARAKAH
No comments:
Post a Comment