Mahathir dakwa Melayu akan hilang kuasa jika Pakatan ganti BN
KUALA LUMPUR, 23 Sept – Sambil berkata beliau bukannya rasis, Tun Dr Mahathir Mohamad mengulangi, orang Melayu akan kehilangan kuasa jika Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih pemerintahan negara ini.
Bekas perdana menteri mendakwa apa yang dinyatakan itu bukan satu igauan tetapi telah menjadi kenyataan kerana perkara itu sudah pun berlaku di negeri diterajui PR walaupun ketua pentadbiran di negeri itu di ketuai orang Melayu.
Sebelum ini Dr Mahathir pernah mengatakan bahawa orang Melayu akan menjadi kaum minoriti dari segi politik jika PR berkuasa.
Melahirkan pandangannya kepada Umno Online hari ini, bekas presiden Umno ini merujuk kepada bekas menteri besar Perak Datuk Ser Ir Mohd Nizar Jamaluddin selepas pilihan raya umum ke-12.
“Kita lihat Nizar di Perak, walaupun dia Menteri Besar tapi dia ikut arahan dari DAP sehingga dia jatuh. Orang Cina mendakwa ini adalah usaha BN (Barisan Nasional) menjatuhkan kerajaan Cina.
“Jadi mereka panggil kerajaan Cina, tak mungkin kita juga akan dapat perdana menteri yang semacam Nizar, namanya Melayu, agama Islam tetapi dia bukan sebenarnya bebas, dia adalah alat pada orang lain dan ini boleh berlaku,” katanya.
Dr Mahathir berkata walaupun Nizar itu mewakili PAS yang kononnya memperjuangkan Islam tetapi mereka sebenarnya menggunakan Islam sebagai alat untuk mendapat sokongan.
Menurutnya, menjadi Perdana Menteri negara ini tidak tertakluk kepada orang Melayu atau mereka yang beragama Islam, jawatan berkenaan terbuka kepada sesiapa sahaja, yang utama ialah mendapat sokongan di parlimen.
“Tidak ada sekatan dalam undang-undang negara, dalam kita punya perlembagaan tiada yang menghalang orang Cina atau India jadi perdana menteri, apa yang perlu sokongan dari majoriti, kalau majoriti dah setuju, kita tak boleh buat apa-apa,” katanya.
Dr Mahathir berkata, apa yang dilakukan oleh PKR bukan untuk memperjuangkan orang Melayu tetapi lebih kepada untuk merealisasikan cita-cita peribadi seseorang pemimpin mereka untuk menjadi perdana menteri.
“Malangnya Umno telah gugur orang ini, dalam perasaan marah peluang dia sudah terputus, dia tubuh parti lain, perjuangannya hanya satu sahaja bukannya untuk bangsa, agama dan negara tapi untuk jadi perdana menteri.
“Trend itu tidak lagi menjadi tumpuan, tetapi kepada apa saya dapat, apa kau dapat, lebih kepada peribadi, itunya terbentuk keadilan, keadilan itu nama sahaja. Tubuh Keadilan (PKR) seolah-olah negara ini tidak ada keadilan,” katanya.
Beliau mengingatkan supaya tidak terpedaya dengan apa yang dilakukan oleh PR, mereka itu hanya untuk mengejar cita-cita menjatuhkan BN dari tampuk pemerintahan negara.
Menurutnya apa yang diperkatakan itu bukannya bersifat perkauman, tetapi kepada kestabilan, sedangkan DAP sering membangkit pelbagai perkara berunsur perkauman sejak dahulu lagi.-tmi
No comments:
Post a Comment