441 DITAHAN PEMIMPIN BERSIH MULA BERGERAK KEKL
12.34pm: Kira-kira 1,000 orang mula bergerak dari stesen lama KTM menuju Dataran Merdeka.
12.32pm: Masjid Jamek - Ahli Majlis MPSJ Michael Tamil dan Mohd Hafifudin, yang juga adalah pengerusi Persatuan Penjaja Bumiputera Masjid India, sedang memantau kawasan sekitar.
"Saya di sini untuk lihat betapa banyak yang penjaja rugi kerana orang ramai tidak berani datang sini,” kata Hafifudin yang kesal dengan tindakan polis hari ini.
"Jika penjaja kerugian kerana jalan ditutup siapa yang patut mereka tuntut kerugian itu. Mereka patut tuntut daripada kerajaan,” katanya kepada Malaysiakini ketika ditemui di Bazaar Jalan Melayu.
Hampir semua kedai dan gerai di kawasan sekitar ditutup hari ini.
12.30pm: Menurut Facebook polis, seramai 441 orang, termasuk 20 wanita, ditahan sehingga jam 12 tengahari.
12.20pm: KL Sentral - Selain Anwar dan Dr Wan Azizah turut berada di sini adalah ketua pemuda DAP Anthony Loke dan setiausaha PKR Saifuddin Nasution di Hotel Hilton yang terletak di bangunan itu.
Mereka dijadual mengakan sidang akhbar sebentar lagi. Semua mereka adalah antara 91 individu yang dilarang memasuki Kuala Lumpur.
12.16pm: Masjid Jamek - Hampir tidak ada kedai yang dibuka, kebanyakan orang berlegar di jalan dan lorong belakang Little India, menunggu masa untuk berhimpun.
Polis terus memeriksa dan menangkap mereka yang disyaki akan berhimpun.
"Mereka arah kami buka beg, macam mana bom didalamnya,” kata seorang wanita Melayu dari Klang yang berang apabila begnya diperiksa oleh empat anggota polis.
"Kenapa kami tak boleh duduk sini? Ini hak asasi kami,” kata seorang lagi wanita yang juga dari Klang.
12.15pm KL Sentral - Dua naib presiden PAS - Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub ditahan ketika dalam perjalanan ke Hotel KL Hilton. Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan presiden PKR Datin Seri Wan Azizah Ismail sudahpun berada di sana.
12:10pm: Menurut Facebook polis, mereka menafikan dakwaan twitter BERSIH 2.0 bahawa berlaku pertembungan antara penunjuk perasaan dan polis di KLCC dan menafikan juga gas pemedih mata telah digunakan.
12:12 pm: IPK KL - Seramai 338 orang telah ditangkap - 321 lelaki dan 17 perempuan.
Mereka ditahan di sekitar Dataran DBKL, Istana Negara, Pasar Seni dan Masjid Jamek.
12:15pm: Bekas ibupejabat KTM - tandas dalam bangunan itu telah dikunci oleh pihak polis.
12.05pm: Ibu pejabat PAS di Jalan Raja Laut agak lenggang dengan hanya kira-kira 50 orang di luar, termasuk ketua penerangan PAS Misbahul Munir.
Empat kereta peronda polis diletakkan kira-kira 50 meter dengan 15 pegawai polis. Sekumpulan anggota polis Cawangan Khas berlegar dengan orang ramai.
11:58am: Petaling Street - Kira-kira 50 orang berkumpul di dalam kelompok kecil di sepanjang jalan pasar, yang dipercayai penunjuk perasaan. Bagaimanapun, tidak ada yang berpakaian kuning.
11.55pm: Stesen lama KTM - Masih ramai yang berlegar di sekitar stesen keretapi ini. Mereka diminta meninggalkan kawasan itu melalui jejantas berhampiran Mahkamah Syariah.
Puluhan telah ditahan di kawasan ini. Polis juga dikatakan bertindak kasar terhadap suspek. Ada yang dicekup di tengkuk. Lori polis kedua yang penuh dengan tahanan beredar ke balai polis.
Polis anti-rusuhan juga bersiap-sedia dan dipercayai akan bergerak masuk ke stesen KTM bagi menyuraikan rakyat yang cuba berhimpun itu.
11.50am: Timbalan presiden PKR Azmin Ali menulis di tweeter - "Saya sudah berjaya tiba di 'forbidden city of KL'."
Beliau antara 91 individu yang dilarang oleh perintah mahkamah daripada memasuki Kuala Lumpur hari ini.
11:47pm: Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menghantar tweet berkata kumpulan Patriot akan berkumpul di Jalan Bukit Bintang pada jam 1 tengah hari. "Ketua Pemuda Umno Pahang Abu Jimi telah ditangkap polis di stesen bas Putra."
11:45am: Sogo - Seorang wanita dilihat merayu kepada pihak polis supaya membebaskan suaminya yang telah ditahan selepas pasangan itu membeli-belah di Haniffa Textile.
"Polis minta saya ambil teksi, tapi tak ada teksi di sini," kata wanita itu ketika trak polis yang membawa suami beredar dari situ.
11.44am: Jumlah terbesar orang ramai yang berhimpun adalah di kawasan sekitar Masjid Jamek dan Masjid Negara. Namun, pintu pagar Masjid Jamek dikunci manakala di Masjid Negara polis tidak membenarkan mereka memasuki kawasan masjid. Ramai yang berkumpul sekitar kawasan stesen lama KTM.
11.35am: Stesen lama KTM - Ketegangan berlaku di disini. Anggota polis cuba menyuraikan orang ramai di dalam bangunan.
11.34am: Masjid Jamek - Seorang pemuda yang mempunyai baju BERSIH 2.0 di bagnya ditangkap di hadapan restoran McDonald.
Dari jam 10.50 pagi hingga sekarang, jumlah yang ditangkap di kawasan ini adalah hampir 40 orang. Mereka dibawa dengan lori dan van polis. Polis juga mengarahkan lori baru kerana menjangkakan lebih ramai akan ditahan dan kenderaan itu digunakan sebagai tempat tahanan sementara.
Stesen LRT Masjid Jamek yang dikawal ketat itu masih beroperasi dan orang ramai masih dibenarkan menggunakannya.
Jumlah wartawan tempatan dan luar negara yang berada di sini berjumlah kira-kira 50 orang.
11.30am: Menurut Facebook PDRM, sehingga 11 pagi, 236 orang telah ditangkap 228 lelaki dan lapan wanita.
Mereka melaungkan 'Allahu Akbar'. Sekurang-kurangnya enam orang ditahan di kawasan tersebut pagi ini.
11:25am: Menurut sumber, pemimpin Pakatan Rakyat telah bergerak ke pusat bandar.
11:12am: Sogo - Seorang daripada tiga lelaki yang ditahan di sekitar Masjid India berkata, polis memeriksa begnya dan menemui baju-T kuning.
"Bubuh gambar saya, biar besar sikit," katanya sambil senyum sebelum dibawa menaiki trak polis.-mkini
No comments:
Post a Comment