KUALA LUMPUR, 12 Sept — Datuk Seri Najib Razak kemungkinan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), yang menjadi kritikan pembangkang, seawal minggu ini untuk mendapatkan momentum menjelang pilihan raya umum dalam waktu terdekat ini.
Najib mengambil alih jawatan perdana menteri pada April 2009 dengan janji mahu mengkaji semula undang-undang itu tetapi kredibiliti kepimpinan perdana menteri yang dipersoalkan dengan serius ekoran pendirian dasarnya yang sering berubah sedang mempertimbangkan untuk memansuhkan ISA.
ISA yang diperkenalkan lebih lima dekad lalu menyediakan peruntukan menahan seseorang tanpa perbicaraan.
“Pilihan beliau terhad,” kata satu sumber kepada The Malaysian Insider.
“Ada tentangan ke atas idea itu tetapi Perdana Menteri diyakinkan bahawa undang-undang itu tidak perlu memandangkan ada undang-undang lain untuk berurusan dengan keselamatan,” kata beliau merujuk kepada Ordinan Darurat, yang telah digunakan untuk menahan enam aktivis Bersih 2.0 dua bulan lalu.
Keenam-enam mereka telah dibebaskan kemudian tetapi dikenakan tuduhan lain.
Najib (gambar) dikritik teruk dengan cara beliau mengendalikan perhimpunan tersebut pada 9 Julai.
Kajian Merdeka Center pula menunjukkan populariti beliau menjunam terus sejak Mei 2010.
Kata satu sumber, Najib yang juga Presiden Umno mahu mendapatkan balik sokongan golongan pertengahan dengan mencuba usaha terbaru ini.
ISA telah digunakan dengan meluas ketika Operasi Lalang 1987. Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim ditahan buat kali pertama di bawah ISA pada 1970-an dan kali kedua ditahan atas tuduhan liwat dan salah guna kuasa pada 1998.
Pada Julai lalu, Najib berkata kerajaan akan mengkaji akta-akta lain yang dilihat berkaitan dengan ISA bagi memastikan satu perubahan yang besar dalam usaha menangani keselamatan di negara ini.
Perdana Menteri berkata kajian dan perubahan melibatkan akta lain yang berkaitan dengan ISA dilihat perlu bagi kesesuaian keadaan semasa dan kehendak rakyat