Pengawal Istana Kelantan Ramli Mohamad, 50, meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di Kota Bharu hari ini, 19 hari selepas menerima rawatan akibat ditembak oleh individu tidak dikenali.
Menurut seorang anggota keluarganya, Ramli meninggal dunia kira-kira pukul 3.30 pagi ini selepas berada dalam keadaan kritikal sejak semalam apabila organ utamanya dijangkiti kuman.
Pengelola Istana Diraja Kelantan Datuk Abdul Halim Hamad berada di Hospital awal pagi ini bersama beberapa pegawai Istana untuk menziarahi jenazah Allahyarham.
Semalam Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra menghulur sumbangan RM100,000 kepada Ramli sebagai bantuan untuk mengurangkan beban keluarga pengawal istana itu.
Ramli meninggalkan seorang isteri dan lima orang anak.