Penyatuan Melayu: NGO digesa hantar 50 bas rayu Nik Aziz
Zaini Hassan, Cuit (Utusan Malaysia) dan Syed Azidi, Kickdefella
KUALA LUMPUR, 30 Julai — Sebuah pertubuhan bukan kerajan (NGO) mengadakan forum penyatuan Melayu malam tadi dengan salah seorang panel penceramah meminta agar rombongan rakyat biasa dihantar merayu Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menerima idea kerjasama perpaduan orang Melayu Islam.
“Saya mencadangkan pelan tindakan rakyat, usaha membabitkan rakyat jelata dengan menghantar 50 buah bas ke Pulau Melaka, bertemu dengan Datuk Nik Aziz, bertemu dengan beliau di masjid, merayu kepada beliau supaya terima idea kerjasama penyatuan orang Melayu,” kata blogger Kickdefella atau nama sebenarnya Syed Azidi Syed Abdul Aziz kepada The Malaysian Insider.
Kediaman bukan rasmi Nik Aziz, yang juga Menteri Besar Kelantan terletak di Pulau Melaka, kira-kira 10 minit perjalanan dari Kota Baru.
Menurut Syed Azidi, pelan tindakan itu hanya melibatkan pembabitan rakyat biasa atas alasan rakyat jelata sahaja yang boleh menggerakkan usaha sedemikan.
“Rakyat tidak boleh lagi mengharapkan ahli-ahli politik akan membawa perubahan dalam soal ini, sebaliknya rakyat perlu membawa perubahan dengan menentukan masa depan mereka (ahli-ahli politik),” katanya.
Bagaimanapun beliau tidak dapat menyatakan dengan tepat bila rombongan itu, dijangka membabitkan kira-kira 2,000 orang, akan dihantar ke Kelantan.
Kira-kira 100 orang menghadiri sesi bicara “Melayu Berpecah: Apa Tindakan Kita?” yang diadakan secara tertutup di Ampang dengan 10 orang berucap.
Pihak penganjur tidak membenarkan nama NGO menjadi nadi kepada usaha mereka itu didedahkan. Antara yang hadir ialah budayawan, ahli-ahli akademik dan pengamal media.
Syed Azidi berkata, beliau juga ada mencadangkan agar setiap orang yang menghadiri sesi malam tadi mengadakan pertemuan dengan rangkaian 10 orang mulai hari ini bagi menyebarkan idea dan matlamat yang dibincangkan.
“Jika 100 orang yang hadir malam tadi menyebarkan idea ini kepada 10 orang bermakna kita sudah ada 1,000 orang dan kemudian 10,000 sehingga kita mencapai sasaran akhir.
“Kami mahu pendekatan ini digunakan selepas mendapati tidak lagi boleh meletakkan harapan pada ahli-ahli politik dalam usaha menyatukan orang Melayu,” kata beliau dipercayai merujuk kepada idea ini yang berulang kali dibangkitkan selepas prestasi pilihan raya umum ke-12 dua tahun lalu.
Setakat ini Umno berulang kali membangkitkan idea kerjasama perpaduan dan kerjasama politik dengan PAS tetapi PAS bertegas akan kekal bersama Pakatan Rakyat.
Dua tindakan lain disyorkan Syed Azidi, yang sehingga akhir tahun lalu berkhidmat dengan agensi kerajaan negeri Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), ialah menghantar memorandum minta campur tangan raja-raja Melayu dan kemuncaknya kepada Yang di-Pertuan Agong kelak.
“Kita hendak dan perlu bergerak dengan rakyat, mengadakan pertemuan-pertemuan kecil mulai sekarang... Umno dan PAS tidak terlibat dalam usaha kami ini,” kata beliau ketika ditanya mengenai pembabitan parti-parti politik.
Ketika ditemui malam tadi, Syed Azidi berkata kegagalan kerjasama Umno-PAS berpunca daripada sikap Nik Aziz yang tidak mahukan perpaduan Melayu tercapai.