ULASAN Apabila terbongkarnya fakta bahawa Umno telah mengadakan hubungan dengan Parti Komunis Cina (CPC) dengan menandatangani perjanjian persefahaman (MoU), Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tetiba membuat kenyataan bahawa “komunis sekarang tidak sama dengan komunis dahulu.”
Jika kita mengikut logik Najib, maka boleh disimpulkan bahawa komunis sekarang sudah tidak lagi menjadi pengganas, kerana itu komunis sekarang tidak lagi mendatangkan bahaya kepada negara.
Sekiranya rakyat mengikut logik presiden Umno yang bijak ini juga bermakna, mana-mana rakyat yang ingin menganut ideologi komunis sekarang tidak lagi dianggap bahaya dan bukan lagi ancaman kepada negara.
Mungkin atas logik tersebut juga rasanya, sebab utama beliau sedia berbesan dengan anak pemimpin Kazakhstan, sebuah negara berfahaman komunis dan lama di bawah jajahan Rusia.
Jika benar kenyataan Najib itu ikhlas, rakyat kini tetiba rasa hairan bila mana dalam ambang perhimpunan BERSIH 2.0 baru-baru ini, mengapa pula kerajaan di bawah telunjuk beliau menahan enam pemimpin PSM dalam Akta Ordinan Darurat kerana tuduhan cuba menghidupkan fahaman komunis?