Beliau yang dihubungi berkata, kertas siasatan itu diambil semula pada jam 5 petang dan pihaknya akan melaksanakan arahan berkenaan.
“Kita akan serahkan semula kertas siasatan itu minggu depan,” katanya tetapi enggan mengulas lanjut mengenai arahan itu.
Khalid berkata, sehingga semalam keterangan lebih 20 saksi direkodkan bagi membantu siasatan, termasuk anggota keluarga Allahyarham Aminulrasyid dan penunggang motosikal yang dikatakan berlanggar dengan kereta yang dipandu remaja itu.
Beliau berkata, seorang lagi saksi kejadian yang juga jiran remaja itu turut membuat laporan polis dan keterangannya diambil di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, malam kelmarin.
Bagaimanapun, katanya, pemandu kereta yang dikatakan dilanggar oleh Allahyarham belum tampil untuk membantu siasatan.
Dalam kejadian 2 pagi itu, Aminulrasyid, pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 9 di sini, mati terkena tembakan polis manakala rakannya melarikan diri ketika terserempak dengan kereta peronda polis di kawasan Seksyen 11 di sini.-bharian