Showing posts with label Polis dan Anda. Show all posts
Showing posts with label Polis dan Anda. Show all posts

Tuesday, April 27, 2010

Polis Hang Biar Betul

Remaja ditembak-Polis diminta jamin keselamatan Saksi
keluarga minta penjelasan

12 Jamadil Awal 1431H.
Dzulfikar Mashoor

SHAH ALAM, 27 April: Norsiah Mohamad, 60, ibu kepada juvana yang mati terbunuh petang tadi menyuarakan rasa kecewa dengan dakwaan polis serta laporan media kononnya arwah Amirul Rashid Hamzah dibunuh kerana polis mensyakinya sebagai penyamun.

"Bila polis kata (dakwa) anak saya disyaki terbabit geng samun, saya sekeluarga memang tidak boleh terima," ujar beliau sambil sebak menahan air mata di kediaman mereka sekeluarga.

"Dia anak yang baik, dia pemain ragbi, ahli sukan, semua sukan dia masuk. Kalau bulan puasa, dia memang di surau, kalau pergi surau, siapa tak kenal dia."

Disebabkan itu, beliau meminta pihak berwajib memberikan pembelaan yang sewajarnya kepada anak bongsu kepada lapan beradik tersebut.

"Saya ibu pada arwah, anak bongsu saya (Aminul) ini mendapat pembelaan yang sewajarnya. Saya harap anak saya disiasat dengan telus, itu saja," ujarnya,

Kakak mangsa, Tuty Syaninza Anum Hamzah, 36, pula tidak menyedari arwah memandu kereta suaminya untuk keluar bersama-sama kawan sekelas menonton kejohanan bola sepak Eropah.

Beliau mula menyedari apabila suaminya, Muzaffar Mahalli, 36, menghubunginya dan meminta beliau melihat keadaan kereta di luar kediaman.

Pada ketika itu, menurutnya, kelihatan polis serta penduduk tempatan sedang berhimpun mengelilingi keretanya.

Pun begitu, beberapa pegawai polis, menurut beliau, seakan cuba mengelak untuk memberitahu keadaan sebenar pemandu kereta terbabit, iaitu adiknya.

Sekitar jam 3 pagi, beliau bersama suaminya membuat laporan di Balai Polis Seksyen 11, di sini.

Ditanya tentang wujudnya senjata berupa parang di dalam kereta terbabit seperti yang didakwa polis dan media, beliau menafikan sekeras-kerasnya.

Bagaimana pun, Kamaruddin Hassan, waris terdekat kepada arwah dalam nada yang pasrah meminta polis menyiasat insiden tersebut serta memberi kebenaran seperti yang dituntut oleh keluarga arwah.

"Biarlah polis siasat, sebelah pihak dah buat laporan, kita pun dah buat laporan, biar polis buat laporan, kita hanya nakkan kebenaran," ujar beliau di depan lebih 15 wartawan.

Dalam perkara yang berkaitan, selain insiden bunuh yang membabitkan juvana tersebut, integriti polis Oktober tahun lalu turut tercalar oleh kes tembakan liar yang membabitkan seorang balu, Norizan Salleh.

Harakahdaily/-

Sunday, January 31, 2010

Wanita DiTembak Polis Tanpa Sebab
31 jan 10

Semalam tokeyai dah postingkan kalau polis tahan kita dan apa hak kita...rupa-rupanya ada pulak cerita yang menyusul...korang bacalah ajelah ni...kesian beb kat wanita ni...

Seorang wanita ditembak polis ketika berada dalam kereta, malah ditendang sehingga patah tulang rusuknya semasa merangkak keluar dari kereta, dengan darah yang mengalir dari tubuhnya. Sejumlah lima tembakan ditujukan kepadanya, dengan dua tembakan terkena pada lengan dan pergelangan tangan, satu pada dada, di samping dua lagi terlepas tetapi meninggalkan luka.

Ketika kejadian ini berlaku, wanita yang bernama Norizan bt Salleh ini berada di sebelah kiri tempat duduk belakang dalam kereta, bersama seorang wanita dan dua orang lelaki yang lain. Mereka yang sedang dalam perjalanan mendapati sebuah kereta MPV muncul di sebelahnya secara tiba-tiba, dan polis di dalam kereta itu mula menembak sebelum mereka mengetahui apa yang berlaku sebenarnya.

Norizan bt Salleh, 30 mendedahkan insiden yang berlaku pada awal pagi 30 Oktober 2009 ini dalam satu sidang media, bersama peguamnya Surendran, ibunya Siti Alimah bt Abu, Ketua Penerangan PKR Latheefa Koya dan AJK Wanita PKR Rozaini Mohd Rosli, semalam.

Dipaksa untuk membuat pengakuan

Menurut Norizan, rakannya dalam kereta turut diseksa, malah dipaksa polis untuk mengaku bahawa mereka telah melakukan jenayah merompak. Apa yang peliknya, mereka tidak melalui prosedur soal siasat dan tahanan. Oleh itu, Norizan yang tidak mempunyai rekod jenayah langsung tidak tahu mengenai "kesalahan yang dilakukannya" sehingga hari ini, lebih-lebih lagi beliau tidak didakwa di mahkamah.

Mengimbas kejadian yang berlaku tahun lalu ini, Norizan menceritakan bagaimana beliau pulang ke rumahnya dari rumah kawan di Segambut, Kuala Lumpur pada pukul tiga awal pagi, dengan menaiki kereta Waja. Mereka melalui MRR2, dan beliau mendapati sebuah kereta MPV di sebelah kereta mereka ketika dalam perjalanan.

Menurut Norizan, polis di dalam kereta itu menghalakan pistol ke arah mereka, dan mula menembak sebelum mereka sempat berhenti. Peluru menembusi kereta mereka, malah lima tembakan dilakukan ke arah dirinya, dengan salah satu terkena pada dada, sehingga darah mengalir tanpa berhenti.

Norizan menekankan beberapa kali, bahawa mereka tidak tahu apa-apa ketika kejadian itu berlaku, malah tidak tahu apa yang akan berlaku seterusnya. Kemudian, Norizan mula kabur, dan tidak sedar di mana keretanya berhenti. Tiba-tiba, pintu kereta dibuka, dan polis menghalakan pistol ke arahnya.

Kemalangan jalan raya, kata polis

Wanita yang tidak bersenjata ini meminta tolong, tetapi dibalas pula dengan tendangan polis. Beliau merangkak keluar dan ditendang oleh polis yang sama, sebelum dipijak belakangnya, yang berakhir dengan retaknya dua tulang rusuknya.

Norizan (gambar kanan) berkata, beliau nampak dirinya dikepung lebih daripada 10 kereta polis. Norizan seterusnya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dirawat. Empat hari kemudian, beliau dihantar ke Institut Jantung Negara. Sejumlah 11 hari beliau tinggal di hospital di bawah pemantauan polis.

Ketika keluar dari hospital, Norizan dimaklumkan bahawa kos rawatan sejumlah RM20,000 perlu ditanggungnya sendiri, dan bukan polis yang mencederakannya kerana polis memberitahu hospital bahawa Norizan ditimpa kemalangan jalan raya. Bagaimanapun, ibu tunggal yang masih menganggur, dan mempunyai seorang anak berumur 10 tahun ini gagal menjelaskan hutang ini.

IO yang mencederakan Norizan

Norizan memberitahu bahawa dirinya pernah meminta bantuan daripada Micheal Chong, Pengerusi Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA. Micheal Chong pula membawanya untuk membuat laporan di Balai Polis Sentul. Kebetulannya,Investigation Officer yang bertanggungjawab dalam siasatan adalah orang yang mencederakannya pada hari kejadian berlaku.

Kemudian, Norizan dibawa ke Balai Polis Kepong untuk membuat laporan, dan polis memberitahu bahawa dirinya akan dihubungi dalam masa 48 jam. Tetapi, beliau tidak dihubungi sehingga kini setelah laporan itu dibuat pada 16 November 2009.

Selain itu, menurut Surendran, tiga orang kawan Norizan yang tidak berani untuk menampilkan diri semalam juga diseksa oleh polis. Salah seorang mengadu kepada Surendran bahawa mereka digantung secara terbalik, disapu cili pada badannya, dan dipukul tapak kakinya. Menurutnya, polis berbuat demikian agar mereka mengaku diri mereka terlibat dalam kes rompakan.

Sebagaimana yang diketahui, kaki pemandu kereta juga tercedera kerana tembakan pistol. Walau bagaimanapun, Surendran tidak pasti sama ada tiga orang yang lain mempunyai rekod jenayah.

Keadilan untuk mereka yang tidak bersalah

Latheefa Koya (gambar kanan) menyeru agar polis menyiasat kes ini dengan segera, malah mengembalikan keadilan untuk mereka yang tidak bersalah tetapi dibunuh oleh polis. Ketua Biro Penerangan PKR ini tidak menolak kemungkinan untuk menganjurkan demonstrasi sebagai protes dan mendesak agar polis menyegerakan siasatan kes ini.

Beliau juga menggesa agar polis menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis ( IPCMC) untuk menghentikan keganasan sedemikian dan mengelakkan lebih orang dimangsakan sebegini. Malah, Latheefa Koya khuatir polis tidak akan membiarkan nyawa mangsa itu daripada hidup selepas ini.

"Kami mahu kerajaan, Kementerian Dalam Negeri respon kepada kes yang didedahkan hari ini. Bukan sahaja kami nak memperjuangkan keadilannya, tetapi mempertahankan keadilan untuk semua orang. Kami berharap polis memandang kes ini dengan serius, menyiasat. Ini bukan mengarut... Ini untuk mengelakkan mangsa seterusnya ditembak, dan saya amat bimbang, lain kali mereka (polis) akan memastikan mereka tidak dibiarkan hidup," ulasnya.

Norizan antara yang hidup dan tampil ke depan

Surendran (gambar kiri) pula mendakwa bahawa kes ini adalah bukti kes "shoot-to-kill" (tembak untuk bunuh), dan Norizan adalah mangsa yang masih hidup dan berani tampil untuk mendedahkan salahguna kuasa polis ini.

"Kami tidak lagi percaya kepada kenyataan polis. Mangsa sebelum ini ditembak mati kesemuanya. Mujur kami ada seorang mangsa yang masih hidup dan tampil untuk mendedahkan tingkahlaku polis," katanya.

Malah, Surendran menyenaraikan kes-kes penyalahgunaan kuasa polis sehingga mangsanya terbunuh sebelum ini, termasuk enam orang di Kulim yang ditembak mati oleh polis pada Februari 2009 dan lima orang yang ditembak mati di Klang pada awal November 2009.

Menurut Surendran, dalam kes di Kulim, beliau diberitahu jiran mangsa bahawa salah seorang lelaki yang ditembak mati adalah seorang yang berpenyakit mental; sementara kes di Klang pula berakhir dengan tregedi kakak seorang mangsa membunuh diri bersama anaknya kerana terlalu sedih.-merdekareview

Saturday, January 30, 2010

Polis Dan Hak Anda
30 jan 10

Ketahui Hak-Hak Anda Bila Di Tahan Polis

1. APABILA DIBERHENTIKAN POLIS

1.1 Tidak Berpakaian Seragam, Minta Pengenalan Diri Jika beliau tidak berpakaian seragam, minta beliau tunjukkan pengenalan diri. Katakan; “Sila tunjukkan Kad Kuasa Polis anda.”

1.2 Kad Kuasa Polis
Merah : Pegawai Polis yang digantung tugas. Beliau tiada kuasa untuk melakukan apa-apa terhadap anda. Anda boleh berlalu dari situ.

Lain-lain Warna :

• Biru : Berpangkat Inspektor dan ke atas.
• Kuning : Berpangkat lebih rendah daripada Inspektor.
• Putih : Polis Simpanan

Ambil perhatian nama dan nombor Kad Kuasanya.

1.3 Berpakaian seragam
Ambil perhatian nama dan nombor ID pada pakaian seragamnya.

1.4 Kenderaan Peronda Polis
Ambil perhatian nombor pendaftaran kereta atau motosikal peronda berkenaan.

2. POLIS MENYOAL SIASAT ANDA SEMASA DIBERHENTIKAN

2.1 PengenaIan Diri
Hanya berikan nama, nombor kad pengenalan dan alamat anda.

2.2 Polis bertanyakan soalan-soalan lain
Tanya dengan sopan, "Adakah saya sedang ditangkap?"

2.3 Adakah anda sedang ditangkap

Anda sedang ditangkap jika Polis:
• menjawab "ya";
• tidak membenarkan anda berlalu/mahu membawa anda ke
Balai Polis; atau
• menggari anda.

Jika anda tidak ditangkap, anda boleh berlalu/menolak untuk mengikutnya ke Balai Polis atau ke mana sahaja, jika diminta.

2.4 Bilakah anda tidak boleh ditangkap

Polis tidak boleh menangkap anda semata-mata kerana anda berpotensi sebagai saksi dan mereka mahu mengambil pernyataan daripada anda (Pernyataan 112/Saksi).

3. SOAL SIASAT OLEH PIHAK POLIS TANPA TANGKAPAN

3.1 Pernyataan 112
Semasa pihak Polis sedang menjalankan siasatan berhubung sesuatu kes dan berpendapat anda mempunyai maklumat/pengetahuan tentang kes tersebut, pihak Polis boleh menyoal siasat anda dan mencatat semua jawapan anda (Pernyataan 112).

3.2 Permintaan Rasmi / Tidak Rasmi
Kebiasaannya, Polis membuat permintaan tidak rasmi supaya anda memberikan Pernyataan 112. Jika tempat dan masa sesuai bagi anda, anda boleh bekerjasama. Jika tidak, beritahu Polis anda akan bekerjasama di tempat dan pada masa yang sesuai. Jika anda menolak untuk bekerjasama, Polis boleh mengeluarkan arahan rasmi secara bertulis, ditandatangani oleh seorang Pegawai Penyiasat (Pegawai Polis) mengkehendaki anda untuk bekerjasama. Jika anda tidak mematuhi Arahan Polis tersebut, anda tidak boleh ditangkap. Walau bagaimanapun, ia adalah satu kesalahan dan pihak Polis boleh memohon kepada Mahkamah untuk mengeluarkan satu waran terhadap anda mendesak anda supaya bekerjasama.

3.3 Membuat Pernyataan 112
Semasa membuat Pernyataan 112, anda boleh menolak untuk menjawab mana-mana soalan/berdiam diri jika jawapannya mungkin mendedahkan anda kepada kesalahan jenayah.

• Bawa bersama anda buku catatan atau kertas tulis (Nota Peribadi).
• Catatkan dalam Nota Peribadi anda semua soalan yang ditanyakan.
• Pastikan bahawa anda faham setiap soalan yang ditanyakan.
• Ambil masa anda dan fikir dengan teliti sebelum menulis jawapan di
dalam Nota Peribadi anda.
• Bacakan jawapan anda kepada Pegawai Polis yang menyoal anda.
• Simpan Nota Peribadi anda sebagai rujukan di masa hadapan.

3.4 Menandatangani Pernyataan 112 anda
Sebelum menandatangani Pernyataan anda, baca dengan teliti semua soalan dan jawapan anda yang ditulis oleh Pegawai Polis yang berkenaan.

• Bandingkan Pernyataan yang anda akan tandatangani dengan Nota Peribadi anda.
• Anda berhak membuat pembetulan/pindaan ke atas Pernyataan tersebut sebelum ditandatangani.
• Turunkan tandatangan betul-betul di bawah ayat terakhir Pernyataan anda.

4. POLIS MENANGKAP ANDA

4.1 Tanya: "Mengapa saya ditangkap?"
Sesuatu tangkapan menjadi tidak sah jika anda tidak diberitahu alasan tangkapan.

4.2 Jangan melawan semasa ditangkap
Polis mempunyai hak untuk menggunakan kekerasan yang munasabah semasa menangkap anda jika anda melawan.

4.3 Tanya: "Balai Polis manakah saya akan dibawa?"
Pegawai Polis yang menjalankan tangkapan mestilah dengan segera membawa anda ke Balai Polis yang berdekatan dan bukan sebaliknya.

4.4 Apa yang perlu anda lakukan apabila ditangkap
Anda mempunyai hak untuk membuat satu panggilan telefon kepada:
1. Keluarga atau rakan; dan/atau
2. Seorang peguam.
Anda juga bolah menghubungi Pusat Bantuan Guaman (LAC).

Maklumkan kepada mereka:
• yang anda telah ditangkap;
• masa, tempat dan alasan ditangkap;
• Balai Polis di mana anda dibawa.

4.5 Apa yang akan berlaku selepas ditangkap
Anda boleh ditahan sehingga 24 jam:
• Di Balai Polis, atau
• Di dalam lokap untuk "membantu" penyiasatan Polis.

5. HAK ANDA SELEPAS DITANGKAP DAN SEMASA DALAM TAHANAN

5.1 Hak untuk berunding dengan seorang peguam Sebaik sahaja anda meminta kehadiran seorang peguam, anda mempunyai hak untuk berunding dengan peguam berkenaan di Balai Polis. Pihak Polis mestilah memberikan kemudahan-kemudahan yang munasabah dan masa yang munasabah untuk anda berjumpa dan berbincang dengan peguam berkenaan. Pihak Polis bagaimanapun boleh menafikan hak ini, jika kelengahan dalam menyoalsiasat anda
boleh menyebabkan berlakunya jenayah lain atau menyebabkan bahaya kepada pihak lain.

5.2 Pakaian
Anda dibenarkan mempunyai satu set pakaian bersama anda semasa di dalam lokap.

5.3 Barangan peribadi
Pihak Polis mestilah merekodkan semua barangan peribadi anda dan meletakkannya dalam simpanan selamat. Barangan peribadi anda mesti dipulangkan kepada anda sebaik sahaja dibebaskan.

5.4 Kebajikan
Anda dibenarkan mandi dua kali sehari. Jika anda jatuh sakit, anda berhak mendapat rawatan perubatan dengan serta-merta. Anda sepatutnya diberikan makanan dan minuman yang wajar dan secukupnya semasa dalam tahanan.

5.5 Berapa lamakah pihak Polis boleh menahan anda
Pihak Polis hanya boleh menahan anda sehingga 24 jam untuk siasatan. Tugas Polis adalah untuk menyelesaikan penyiasatan dalam masa 24 jam dan melepaskan anda dengan segera. Jika pihak Polis tidak dapat menyelesaikan penyiasatan dalam tempoh 24 jam, Polis mesti membawa anda ke hadapan seorang Majistret untuk mendapatkan perintah reman untuk memanjangkan tempoh penahanan anda melebihi 24 jam (Perintah Reman).

6. PERINTAH REMAN OLEH MAJISTRET SELEPAS 24 JAM

6.1 Siapakah Majistret
Majistret ialah seorang pegawai kehakiman yang mempunyai kuasa untuk membuat Perintah Reman bagi menahan anda lebih daripada
24 jam.

6.2 Tujuan Perintah Reman
Untuk memberi lebih masa kepada Polis untuk melengkapkan penyiasatan dan memutuskan sama ada terdapat bukti untuk mendakwa anda atas satu-satu kesalahan. Pihak Polis tidak boleh memohon Perintah Reman hanya untuk mengambil Pernyataan daripada anda

6.3 Berapa lamakah Perintah Reman
Apabila pihak Polis membawa anda ke hadapan seorang Majistret untuk memohon Perintah Reman, pihak Polis perlu memberikan alasan kepada Majistret mengapa anda perlu ditahan melebihi 24 jam. Tugas Majistret adalah untuk menimbangkan secara berhati-hati alasan-alasan yang diberikan oleh pihak Polis.

Majistret berkenaan mempunyai budi bicara:
• untuk tidak membenarkan Perintah Reman dan seterusnya melepaskan anda; atau
• membenarkan Perintah Reman untuk satu tempoh yang lebih pendek daripada yang dipohon oleh pihak Polis.

Seorang Majistret mempunyai kuasa untuk membenarkan Perintah Reman tidak melebihi 4 hari atau 7 hari bergantung kepada jenis kesalahan yang sedang disiasat. Pihak Polis boleh memohon Perintah Reman kedua selepas tamatnya Perintah Reman pertama. Majistret boleh membenarkan Perintah Reman kedua untuk tempoh tidak melebihi 3 hari atau 7 hari bergantung kepada jenis kesalahan yang sedang disiasat.

6.4 Apa yang perlu anda katakan ketika anda dibawa di hadapan
seorang Majistret untuk proses reman

Maklumkan kepada Majistret:
• anda mahu diwakili oleh seorang peguam dan anda mahu menghubungi peguam, pusat bantuan guaman dan keluarga anda;
• jika anda mahukan rawatan perubatan kerana anda sakit atau telah dipukul;
• jika pihak Polis telah mengugut atau memukul anda semasa dalam tahanan;
• jika anda telah tidak diberikan makanan/minuman/pakaian atau perubatan yang wajar dan mencukupi semasa dalam tahanan;
• sama ada pernah ditahan sebaik sebelum penahanan terkini anda;
• sama ada pihak Polis telah menjalankan apa-apa penyiasatan semasa anda dalam tahanan.

6.5 Mohon supaya Majistret memberikan Perintah Reman yang singkat
Sebelum Majistret berkenaan membuat Perintah Reman, mohon tempoh reman yang lebih singkat daripada yang dipohon oleh pihak Polis. Beri alasan (sebagai contohnya: "saya akan bekerjasama dengan polis dalam siasatan mereka", "saya boleh dihubungi bila-bila masa dan tidak akan melarikan diri" dll).

7. PEMERIKSAAN BADAN TANPA TANGKAPAN

7.1 Bilakah ianya boleh dilakukan
Jika anda berada di satu-satu tempat (contohnya: disko/karaoke/ pusat-pusat hiburan) di mana Polis menjalankan serbuan untuk mencari sesuatu (contohnya: dadah), pihak Polis boleh menahan dan memeriksa anda jika mereka berpendapat anda mempunyai atau sedang menyembunyikan barang yang sedang dicari itu. Ini hanya boleh dilakukan dengan kehadiran seorang Pegawai Polis berpangkat Inspektor dan ke atas.

7.2 Apa yang perlu dilakukan

• Jangan benarkan Pegawai Polis berkenaan memasukkan tangannya ke dalam pakaian anda atau kocek/saku anda.
• Jika anda diminta untuk mengeluarkan barangan peribadi anda satu persatu, setiap kali sebut "dompet", "kunci", "Kad Pengenalan" dll.
• Apabila kocek/saku/beg anda telah dikosongkan, terbalikkan kocek/ saku/beg anda.

7.3 Hak-hak anda
• Semua pemeriksaan badan mestilah dijalankan secara profesional dan sopan.
• Seorang wanita hanya boleh diperiksa badannya oleh seorang Pegawai Polis wanita.
• Jika anda dipaksa/diugut untuk berbogel:
1. Bantah;
2. Ingat nama Pegawai Polis tersebut; dan
3. Buat laporan Polis selepas insiden tersebut.

8. PEMERIKSAAN BADAN SELEPAS TANGKAPAN BERLAKU

8.1 Bila Polis boleh berbuat demikian
• Polis secara munasabah mengesyaki bahawa anda mempunyai bukti/keterangan berhubung kesalahan yang disyaki.
• Anda ditangkap.
• Pemeriksaan badan mestilah dijalankan di tempat tertutup. Anda mempunyai hak untuk diperiksa badan di tempat tertutup.

8.2 Jenis-jenis Pemeriksaan Badan

Undang-undang membenarkan Polis melakukan 4 jenis pemeriksaan badan:-

1. Pemeriksaan secara menepuk badan dari atas ke bawah
- pemeriksaan pakaian luaran.
2. Pemeriksaan tanpa pakaian - untuk mencari bukti, objek, barang terlarang atau senjata. Hanya boleh dijalankan dengan kebenaran seorang pegawai berpangkat Inspektor dan ke atas.
3. Pemeriksaan sulit - selain daripada mencari di dalam mulut, hidung and telinga. Hanya boleh dijalankan dengan kebenaran pegawai berpangkat Penolong Penguasa (ASP) dan ke atas.
4. Pemeriksaan dalaman - untuk menentukan kewujudan objek-objek dll. di dalam badan. Hanya boleh dijalankan dengan kebenaran Ketua Polis Daerah (OCPD). Hendaklah dijalankan oleh seorang Pegawai Perubatan atau Pegawai Perubatan Kerajaan.

8.3 Hak anda
• Semua pemeriksaan badan mesti dijalankan secara profesional dan sopan.
• Anda dinasihatkan supaya meminta ditemani oleh peguam anda semasa pemeriksaan dilakukan.
• Seorang wanita hanya boleh diperiksa badannya oleh seorang Pegawai Polis wanita.

9. SOAL-SIASAT OLEH POLIS SELEPAS DITANGKAP

9.1 Kenal pasti Pegawai Polis yang menyoal siasat anda
Ambil perhatian nama/pangkat Pegawai Polis yang menyoal siasat anda.

9.2 Hak anda untuk berdiam diri

Polis lazimnya akan beramah mesra terlebih dahulu (contohnya: bertanyakan tentang keluarga dan rakan-rakan anda dll.) Anda hanya perlu memberikan nama penuh, umur, alamat dan pekerjaan anda (Maklumat-Maklumat Peribadi). Selain Maklumat-Maklumat Peribadi, anda berhak memilih untuk berdiam diri. Anda harus bersopan. Anda tidak perlu takut untuk berdiam diri. Ini adalah hak anda. Jika anda memilih untuk berdiam diri, katakan, "Saya ingin menggunakan hak saya untuk berdiam diri."

9.3 Pernyataan 112 anda semasa dalam penyiasatan
Pihak Polis akan bertanyakan soalan-soalan kepada anda dan kemudian mencatatkan semua jawapan anda. Polis tidak boleh mengugut atau memaksa anda untuk memberi Pernyataan. Jika anda diugut, dipukul atau dipaksa, buat satu laporan Polis terhadap Pegawai Polis berkenaan dengan segera. Ini adalah hak anda.

9.4 Pernyataan 112 tidak boleh digunakan sebagai keterangan/bukti
Secara amnya, apa jua Pernyataan yang anda buat kepada Polis semasa soal-siasat tidak boleh digunakan sebagai keterangan/bukti kecuali jika anda dituduh atas kesalahan-kesalahan di bawah, sebagai contoh, Akta Dadah Berbahaya, Akta Culik dan Akta Keselamatan Dalam Negeri. Walau bagaimanapun anda boleh
menggunakan Pernyataan anda untuk menyokong pembelaan anda semasa perbicaraan.

PUSAT BANTUAN GUAMAN / LEGAL AID CENTRES (LAC)

• Kuala Lumpur : 03-2691 3005 / 03-2693 2072
• Selangor : 03-5510 7007 / 03-3281 2428
• Negeri Sembilan : 06-6013 844
• Melaka : 06-2845 519 / 06-2864 514
• Johor : 07-2235 698
• Perak : 05-2550 523
• Kedah & Perlis : 04-7333 467
• Kelantan : 04-7448 660
• Pahang : 09-5159 244 / 09-2969 410
• Pulau Pinang : 04-2617 451/ 04-3108 451


POSTING RUJUKAN

SAJAK DR ASRI

BLOG LIST

AlQurannulkarim

Listen to Quran