BOT tunda dan pontun membawa pasir sungai dipercayai cuba diseludup keluar di Johor, semalam.
Bot tunda, pontun didaftar di Singapura ditahan di perairan Pontian
JOHOR BAHRU: Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Johor bersama Jabatan Laut Wilayah Selatan menahan sebuah bot tunda bersama pontun membawa 3,000 tan pasir sungai, dipercayai cuba diseludup keluar dari negara ini, di perairan Pontian di sini, pagi Khamis lalu.
Turut ditahan, enam lelaki warga Indonesia yang terdiri daripada seorang tekong bot dan lima awak-awak.Penolong Kanan Pengarah Kastam I Siasatan KDRM Johor, Harun Ishak, berkata pada pagi itu, Jabatan Laut menahan sebuah bot tunda bersama pontun yang kelihatan mencurigakan di perairan Pontian.
“Hasil siasatan mendapati bot terbabit tidak mempunyai kelulusan atau dokumen sah pengangkutan laut selain tidak melaporkan sebarang perjalanan laut mengikut Akta Jabatan Laut,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Beliau berkata, selepas mengenakan kompaun, bot bersama pontun kemudian diserahkan kepada KDRM negeri, pada jam 10 pagi itu sebelum pemeriksaan awal mendapati muatan pasir sungai juga tidak mendapat pelepasan pelabuhan, serta muatan tidak diikrar kepada kastam negeri.
Menerusi siasatan awal, Harun berkata, pihaknya dapati bot serta pontun itu berdaftar di Singapura dan dipercayai mendapatkan pasir sungai dari sungai Johor.
“Pasir sungai ini dipercayai digunakan untuk penambakan laut, dan sehingga kini siasatan masih diteruskan bagi mengenalpasti nilai pasir ini, menyiasat dalang perbuatan serta ke mana pasir ini cuba diseludup keluar,” katanya.
No comments:
Post a Comment